Melaka: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyasarkan untuk memperkenalkan kelulusan pembiayaan di bawah RM20,000 dalam tempoh 24 jam, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Sim berkata, kelulusan dalam tempoh itu bertujuan membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan modal pusingan dengan segera.
“Sekarang kita sedang melaksanakan projek rintis (berkaitan kelulusan pembiayaan di bawah RM20,000) dan sasarannya akan dilancarkan dalam masa dua, tiga bulan ini.
“Kita hendak bagi tempoh pemprosesan 24 jam bagi memudahkan PMKS (supaya) perniagaan kecil ini tidak perlu tunggu lama (untuk mendapatkan pembiayaan modal pusingan),” katanya.
Sim berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Morten Walk di sini, hari ini.Majlis dirasmikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin.
Pada majlis itu, KUSKOP melancarkan Portal TEKUN Nasional, iaitu platform digital sehenti untuk usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, memohon secara dalam talian, mengakses hebahan program dan latihan keusahawanan serta mendapatkan maklumat berkaitan pejabat TEKUN Nasional di seluruh negara.
Sementara itu, KUSKOP dalam kenyataan memaklumkan permohonan pembiayaan TEKUN Nasional sehingga RM100,000 kini diproses dan diluluskan dalam tempoh tujuh hari, manakala SME Bank dan Bank Rakyat turut komited untuk memproses dan meluluskan permohonan pembiayaan sehingga RM1 juta dalam tempoh 14 hari.
Sehingga 31 Mei, KUSKOP meluluskan pembiayaan berjumlah RM92 juta kepada lebih 4,300 usahawan di Melaka melalui pelbagai agensi di bawah kementerian itu, manakala pada peringkat nasional, jumlah yang diluluskan sebanyak RM5 bilion yang memberi manfaat lebih 180,000 perusahaan.
Selain itu, KUSKOP menyasarkan penyaluran pembiayaan berjumlah RM15 bilion di bawah inisiatif PowerUp10k kepada PMKS di seluruh negara pada tahun ini.Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu. – Harian Metro
