MANOLO FORTICH, Bukidnon: Sekumpulan lelaki bersenjata melarikan wang tunai kira-kira 1.7 juta peso Filipina (kira-kira RM128,000) selepas menyerang tiga pekerja sebuah bank luar bandar di Barangay Damilag di sini, kelmarin, kata polis.
Pengarah Polis Bukidnon, Kolonel Oliver Sotto Navales, berkata pekerja cawangan South Bank di Libona itu sedang membawa kutipan wang tunai bank untuk didepositkan di cawangan Land Bank apabila kereta Toyota Vios berwarna kelabu yang dinaiki mereka dipintas kira-kira jam 9.40 pagi di Camp Fabia Road, Sitio Miranda.
Siasatan awal mendapati suspek yang menaiki sebuah Ford Ranger Wildtrak menghalang laluan kenderaan mangsa sebelum melepaskan tembakan, menyebabkan kereta itu terbabas ke dalam longkang di tepi jalan.
Pemandu dan seorang pengawal keselamatan yang mengiringi mereka membalas tembakan, namun akhirnya kehabisan peluru, sekali gus memberi peluang kepada kumpulan penjenayah itu menghampiri kenderaan berkenaan dan merampas sebuah beg yang mengandungi wang kutipan tunai berjumlah 1.677 juta peso Filipina.
Suspek kemudian melarikan diri ke arah Lebuhraya Sayre dan sehingga kini masih bebas.
Tiga pekerja bank terbabit iaitu seorang pemandu lelaki berusia 30 tahun, seorang pekerja wanita berusia 26 tahun dan seorang pekerja lelaki berusia 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun berlaku insiden berbalas tembakan.
Navales berkata, polis sudah melancarkan operasi memburu suspek serta sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selain menjejaki petunjuk bagi mengenal pasti suspek dan menentukan sama ada rompakan itu dirancang rapi atau membabitkan orang dalam.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran ketika operasi memburu suspek diteruskan.
Kredit sumber: Agensi/Berita Harian
