PAPAR, 19 Jun 2026 – Penduduk di Taman La Gloxinia, Kinarut merayu campur tangan segera kerajaan negeri susulan masalah gangguan bekalan air yang didakwa berlarutan sejak tahun lalu tanpa penyelesaian yang berkesan.
Mewakili suara penduduk, M. Sham Ramlee menerusi satu hantaran di Facebook mendakwa penduduk sudah terlalu lama berdepan gangguan bekalan air yang berlaku berulang kali sehingga menjejaskan kehidupan harian.
Menurut beliau, penduduk mendakwa notis gangguan yang diterima sering tidak selari dengan keadaan sebenar di lapangan, selain kesukaran mendapatkan maklum balas apabila cuba menghubungi pihak berkaitan.
“Setiap kali gangguan berlaku, penduduk menerima notis yang tidak selari dengan keadaan sebenar. Apabila kami menghubungi Jabatan Air, panggilan tidak dijawab dan mesej tidak dibalas,” katanya menerusi hantaran itu.
Beliau turut mendakwa kawasan perumahan lain di sekitar masih menerima bekalan air seperti biasa, manakala penduduk Taman La Gloxinia terus berdepan gangguan.
Akibat situasi tersebut, penduduk terpaksa mengangkat dan membeli air selain menanggung kos tambahan bagi memenuhi keperluan harian.
Menurut beliau lagi, penduduk mahu penjelasan mengenai langkah penyelesaian jangka panjang termasuk sekiranya gangguan dikaitkan dengan unsur sabotaj seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini.
“Penduduk berhak mengetahui pelan penyelesaian sebenar, bukan sekadar alasan yang berulang setiap kali gangguan berlaku,” katanya.
Penduduk turut memohon perhatian kerajaan negeri agar keadaan di kawasan berkenaan dapat ditinjau secara langsung dan penyelesaian yang nyata serta berkekalan dilaksanakan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Jabatan Air Negeri Sabah berhubung dakwaan yang dibangkitkan penduduk. – DAKWAT RAKYAT POST
(Sumber: Hantaran Facebook M. Sham Ramlee)
