KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam lelaki warga asing dalam tiga serbuan di kondominium sekitar Bukit Bintang dan Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 23 November lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Haji Ahmad Azwan bin Haji Amin Nordin berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi hasil risikan dan maklumat awam itu berlangsung antara jam 9.30 pagi hingga 4.15 petang.
Katanya, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 39 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar Lembah Klang.
Dalam serbuan pertama di sebuah kondominium di Jalan Galloway, Bukit Bintang, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan merampas satu peket plastik mengandungi 1.03 gram serbuk kristal disyaki Methamphetamine bernilai RM51.50.
Suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif Methamphetamine/Amphetamine.
Serbuan kedua di kondominium sama membawa kepada penahanan empat lagi lelaki berusia antara 36 hingga 39 tahun.
Pemeriksaan di unit berasingan itu menemukan 87 peket pelbagai warna dan jenama mengandungi 531 gram serbuk disyaki MDMA bernilai RM79,650 serta dua peket Methamphetamine seberat 3.57 gram bernilai RM178.50.
Polis turut menyita lapan telefon bimbit dan tablet, manakala kesemua empat suspek didapati positif Methamphetamine/Amphetamine melalui ujian saringan awal air kencing.
Dalam serbuan ketiga di sebuah kondominium di Jalan Yap Kwan Seng pada jam 4.15 petang, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun yang dipercayai menjaga stor penyimpanan bekalan dadah.
Serbuan itu membawa kepada rampasan 36 peket plastik dan kertas pelbagai warna serta 34 bekas mengandungi serbuk disyaki MDMA dengan berat keseluruhan 6.47 kilogram bernilai RM970,500.
Polis turut merampas 13.14 gram serbuk disyaki Ketamin bernilai RM657 serta tiga telefon bimbit.
Secara keseluruhan, operasi itu menyaksikan rampasan kira-kira tujuh kilogram MDMA bernilai RM1.05 juta, 4.60 gram Methamphetamine bernilai RM230 dan 13.14 gram Ketamin bernilai RM657.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan RM1,051,037.
Menurut Ahmad Azwan, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan kondominium mewah yang mempunyai kawalan keselamatan ketat sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula MDMA dalam peket minuman berperisa sebelum diedarkan ke pusat hiburan sekitar ibu negara.
Lima suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) akta sama.
Kesemua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan pihak polis serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah diminta menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012-208 7222.-DRP
