TUARAN, 29 November 2026 – Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) meneruskan usaha mempromosikan produk Ikan Rakyat Sabah menerusi penyertaan dalam Karnival Usahawan Desa (KUD) 2026 yang berlangsung di Padang Istiadat, Pekan Tuaran.
Menerusi kempen “FISH-FISH Harga Runtuh”, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai produk hasil laut berkualiti pada harga lebih berpatutan, sekali gus mendapat sambutan sepanjang karnival berlangsung.
Majlis penutupan karnival pada 28 November lalu disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar.
Turut hadir ialah Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar bersama pasukan SAFMA yang menjayakan aktiviti promosi, pameran dan jualan produk Ikan Rakyat Sabah.
Selain menawarkan hasil perikanan pada harga mampu milik, SAFMA turut memperkenalkan Program Rakan Niaga Ikan Rakyat Sabah bagi membuka peluang kepada usahawan tempatan, khususnya masyarakat luar bandar, untuk menjana pendapatan.
Inisiatif itu juga bertujuan memperluas rangkaian pemasaran dan pengedaran hasil perikanan tempatan di seluruh Sabah.
Penyertaan SAFMA dalam karnival berkenaan mencerminkan usaha syarikat menyokong keterjaminan makanan negeri, memperkukuh industri perikanan serta membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
SAFMA turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan pengunjung yang memberikan sokongan terhadap penyertaan mereka sepanjang karnival berkenaan. – DRP
