KUALA KETIL: Seorang lelaki warga India maut selepas ditetak sebanyak 16 kali menggunakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Raya Pekan Lama Kuala Ketil, di sini, awal pagi 26 November.
Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Adzli bin Abu Shah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.15 tengah malam yang membabitkan seorang lelaki cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kaki, tangan, lutut dan belakang leher.
Malah, terdapat 16 kesan tetakan dengan beberapa bahagian anggota badan mangsa hampir putus akibat serangan menggunakan senjata tajam itu.
Katanya, hasil siasatan dan risikan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada dendam serta perebutan kawasan.
“Maklumat orang awam menyatakan mereka melihat empat lelaki bersenjatakan parang turun daripada sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna maroon sebelum mengejar dan menetak mangsa di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Polis Kedah memandang serius kejadian jenayah kekerasan yang boleh mengancam keselamatan awam serta ketenteraman masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan NG MERS 999 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-DRP
