LAHAD DATU: Dianggarkan lebih kurang 300 ribu penduduk Lahad Datu bakal bergelap malam ini apabila bekalan elektrik terputus di daerah itu sejak jam 3.00 petang tadi.
Menurut maklumat daripada pihak Sabah Electricity (SESB), keseluruhan kawasan daerah Lahad Datu dan sekitarnya mengalami gangguan bekalan.
“Pihak SESB sedang mengenalpasti punca gangguan dan seterusnya melaksanakan pemulihan bekalan secara berperingkat, pihak SESB amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali, terima kasih,” ujar kenyataan itu.
Salah seorang penduduk, Zulhafiiz Brahim berkata ujian menimpa berganda apabila kawasan Perdana,Kampung Betik dan sekitarnya turut mengalami masalah bekalan air sejak lima hari lalu.
“Hari ni pula ujian elektrik tiada, pakej sudah lengkap air dan elektrik tiada,” luahnya dengan nada kesal.
Sehingga kini, pihak SESB masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut dan penduduk sudah mulai resah.
Berkenaan masalah air di Lahad Datu ketika ini, jurucakap Jabatan Air daerah memberitahu mereka juga sedang mencari punca sebenar dan berkerja keras untuk membaiki bekalan air supaya kembali normal terutama kepada penduduk sekitar Bandar, Taman Perdana dan kampung berdekatan.
Foto kredit: Pejabat Daerah Lahad Datu
