LAHAD DATU: Selepas lebih tiga jam bergelap susulan gangguan bekalan elektrik petang tadi, bekalan akhirnya mula dipulihkan secara berperingkat di sekitar daerah ini.
Tinjauan DRP mendapati sebahagian besar kawasan sudah kembali menerima bekalan elektrik, namun beberapa lokasi dilaporkan masih mengalami gangguan dan menunggu pemulihan sepenuhnya.
Dalam masa sama, penduduk di kawasan Bandar Perdana, Taman Sri Perdana serta kampung berhampiran kini berdepan pula masalah bekalan air yang didakwa sudah terjejas sejak beberapa hari lalu.
Penduduk meminta Jabatan Air Daerah Lahad Datu segera mengenal pasti punca gangguan dan mempercepat usaha pemulihan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih sukar.
“Bekalan air sudah terjejas sejak lima hari lalu. Air simpanan dalam tangki belakang rumah pun sudah habis,” kata seorang penduduk Taman Sri Perdana, Severino G.Parzan.
Seorang lagi penduduk dari Kampung Betik, Zulhafiiz Brahim meluahkan kebimbangan apabila keadaan mula menjejaskan keperluan harian.
“Kami sudah tidak dapat mandi, entah macam mana lagi keadaan esok kalau bekalan masih belum pulih,kami ada cuba ke rumah ahli keluarga di Kampung Tabanak tapi tiada air juga di sana,”katanya.
