PENAMPANG: Seorang wanita warga asing berusia 42 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah unit pangsapuri di Jalan Penampang Lama, di sini, selepas gagal dihubungi sejak sehari sebelum kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden, Sammy Newton berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa kira-kira jam 10 malam pada 30 Jun lalu.
Menurut beliau, mangsa yang bekerja sebagai tukang gunting rambut tinggal bersendirian di kediaman berkenaan.
“Siasatan awal mendapati majikan mangsa pergi ke rumahnya selepas gagal menghubungi wanita itu sejak pagi 30 Jun. Setibanya di lokasi, pintu rumah didapati berkunci dan tiada sebarang maklum balas daripada mangsa.
“Bimbang dengan keselamatan mangsa, pihak polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membuka pintu kediaman secara paksa sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan media.
Sammy berkata, siasatan turut mendapati mangsa sebelum ini memaklumkan kepada majikannya bahawa beliau bercuti pada 29 Jun dan dijangka kembali bekerja pada keesokan harinya.
Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa,” katanya.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab. Rahman di talian 016-4492215 atau IPD Penampang di talian 088-712222.
