NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan lima sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah dengan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM300.72 juta, sejak April lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Amran Ahmad berkata, kelima-lima sindiket berkenaan menggunakan modus operandi yang hampir sama iaitu menyembunyikan dadah dalam bungkusan produk lain dan membuat pengisytiharan palsu.
Katanya rampasan terbesar pada 2026 setakat ini membabitkan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor kira-kira jam 12 tengah hari 15 Jun lalu.
“Hasil pemeriksaan, kastam menemukan 18,870 kotak minuman yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis heroin dianggarkan sebanyak 3,396.6 liter serta nilai dianggarkan RM169.83 juta.
“Dagangan ini dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Barat secara transit sebelum dihantar ke Australia sebagai destinasi akhir,” katanya pada sidang media, hari ini.
Amran berkata, kes kedua pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 41 kotak dagangan di sebuah syarikat logistik di KLIA Kargo, Sepang, Selangor, kira-kira jam 9.45 malam 18 Mei.
“Hasil pemeriksaan, pasukan mendapati 11 daripada 41 kotak mengandungi 269 bungkusan plastik lutsinar yang berisi tumbuhan hijau disyaki dadah jenis kanabis bud dianggarkan seberat 161.39 kilogram (kg) dan nilai dianggarkan RM12.91 juta.
“Sindiket mengikrarkan semua kotak dagangan sebagai makanan kering untuk dihantar ke Eropah. Dua individu warga tempatan iaitu ejen perkapalan berusia 20-an dan 30-an direman bagi membantu siasatan,” katanya.
Jelas beliau, kes seterusnya pihaknya menjalankan operasi pemantauan khas ke atas satu kotak penghantaran di Pos Malaysia International Hub (PMIH), KLIA, kira-kira jam 12.35 tengah hari 13 Mei.
“Berdasarkan semakan alamat, kami menahan seorang warga asing bersama satu kotak itu di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur dan menemukan serbuk putih disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dianggarknan seberat 2.68 kg.
“Hasil pemeriksaan di bilik hotel didiami suspek, dua lagi lelaki warga asing ditahan. Pemeriksaan premis itu turut menemukan pelbagai jenis dianggarkan seberat 3.43 kg serta bahan racun psikotropik dianggarkan seberat 0.0086 kg, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM978,778,” katanya.
Tambah beliau, bagi kes keempat, pihaknya menyita dagangan yang disyaki mengandungi dadah di sebuah gudang dalam Zon Perdagangan Bebas KLIA kira-kira jam 1.55 petang 12 Mei lalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap lapan kotak yang disita, pasukan menemukan 98 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi pil disyaki dadah jenis MDMA dianggarkan seberat 220.30 kg dan nilai dianggarkan berjumlah RM33.045 juta,” katanya.
Kes kelima membabitkan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat kira-kira jam 11.00 pagi 9 April lalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap kontena itu, kami menemukan sebanyak 2,099 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi leraian tumbuhan hijau disyaki dadah jenis kanabis bud dengan anggaran berat 1,049.50 kg dan nilai dianggarkan berjumlah RM83.96 juta.
“Dagangan ini dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Tenggara secara transit sebelum cuba dieksport semula ke negara eropah,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
