MELAKA: Badan sukarelawan Van Jenazah Melaka (VJM) bersetuju menghentikan operasinya serta-merta selepas mengaku terbabit meminta bayaran daripada waris bagi perkhidmatan pengurusan jenazah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang juga Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka berkata, beliau memandang serius isu yang dibangkitkan menerusi hantaran aktivis sosial dan pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai Official, berhubung operasi VJM.
Menurutnya, walaupun kini berada di Tanah Suci, beliau telah mengarahkan pegawainya mengadakan pertemuan dengan wakil VJM bagi mendapatkan penjelasan.
“Hasil pertemuan itu, VJM mengaku ada membuat permintaan bayaran daripada waris bagi menampung kos operasi.
“Selepas semakan dijalankan, didapati VJM melakukan kesalahan ketika beroperasi dan mereka turut mengaku terhadap kesalahan yang dilakukan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Susulan itu VJM bersetuju menghentikan operasi mereka serta-merta.
Beliau turut menegaskan tiada pegawai forensik atau pegawai rumah mayat di mana-mana hospital yang terbabit dengan operasi VJM.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Mr Wan Chai kerana membangkitkan isu berkenaan sehingga membolehkan tindakan segera diambil.
Susulan insiden itu, kerajaan negeri akan memperkenalkan garis panduan operasi pengurusan jenazah, khususnya membabitkan badan sukarelawan, bagi memastikan urusan fardu kifayah dilaksanakan dengan lebih teratur serta mengelakkan penipuan.
Kredit sumber: Berita Harian
