KUALA LUMPUR: “Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,” demikian reaksi ringkas Tan Sri Azam Baki, menjawab persoalan dibangkitkan mengenai lantikan beliau sebagai penasihat di Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).
Mengulas lanjut, beliau berkata lantikan beliau atas perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Seksyen 5 Akta NFCC.
“Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bukan sebab jawatan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, tetapi kerana 37 tahun pengalaman dalam penguatkuasaan,” katanya kepada BH.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika sidang media di Parlimen mempersoal justifikasi pelantikan Azam sebagai penasihat di NFCC, memandangkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dikatakan terpalit beberapa isu termasuk skandal berkaitan korporat mafia dan pemilikan saham.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan turut dilapor berkata kerajaan digesa memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan bahawa Azam sudah dilantik sebagai penasihat di NFCC.
Menurut Azam lagi, lantikan pertamanya ke NFCC adalah pada Mac 2021 sehingga Mac 2024 sebelum dilantik semula pada September 2024 sehingga tempoh September 2027.
“Sewajarnya sesiapa yang mempertikaikan perlantikan saya ini mendapatkan fakta yang sebenar daripada pihak NFCC ataupun bertanya dengan saya terlebih dahulu.
“Perlantikan saya ini adalah atas perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong dan berdasarkan atas nasihat Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Dr Ismail Sabri).” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
