MUKADIMAH
MALAYSIA tidak kekurangan undang-undang untuk menangani rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran integriti. Namun cabaran sebenar adalah apabila salah laku yang sepatutnya dicela mula dianggap perkara biasa dalam sistem penyampaian awam.
Budaya ‘selesa’ dengan kelemahan, sikap bertolak ansur terhadap kesalahan serta kegagalan bertindak tegas terhadap pegawai yang bermasalah boleh menyebabkan salah laku terus diwarisi sehingga menjadi sistemik.
Dalam wawancara bersama Wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MASZUREEN HADZMAN serta jurufoto, MOHD. FAISOL MUSTAFA, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), TAN SRI DR. ISMAIL BAKAR melihat masih ada ruang untuk Malaysia membina masa depan lebih baik bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 tahun ini, dengan mengubah pemikiran, memperkukuh pendidikan, meningkatkan integriti serta memanfaatkan teknologi dalam sistem penyampaian kerajaan.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Tan Sri melihat isu tatakelola dan integriti ketika ini terutama dalam kalangan penjawat awam?
Apabila negara kita berkembang, kesedaran tatakelola, tadbir urus dan integriti ini sepatutnya berkembang sama, makin matang bukan makin mundur.
Contohnya, zaman dahulu, masuk kerja pukul 7.30 pagi, tetapi pukul 8 pagi masih minum. Waktu itu tahun 1980-an yang mana kadar Keluaran Dalam Kasar (KDNK) baru dalam RM5 bilion.
Maknanya aktiviti ekonomi masa itu kecil. Tetapi sekarang ini sudah cecah RM1.4 trilion. Takkan kita masih fikir macam itu lagi? Minum bawah pokok pukul 9 pagi, pukul 11 sudah keluar makan. Zaman dulu bolehlah.
Negara sudah berkembang maju tetapi ramai pula orang yang mahu langgar sistem itu. Jadi, negara maju, sepatutnya bertambah maju, tetapi pemikiran dan tindakan kita ke belakang.
BERI ISTERI, ANAK, KERETA JAWATAN
Bagaimana Tan Sri melihat isu penyalahgunaan kereta jawatan yang diberikan kepada pegawai berkelayakan?
Ada pegawai yang diberikan kereta jawatan tetapi dia sudah ada kereta lain. Kereta jawatan itu diberi kepada anak-anak atau isteri dia pakai untuk hantar anak pergi sekolah, isi minyak pula guna kad kerajaan. Itu adalah satu kesalahan walaupun amaunnya kecil. Kos minyak itu mungkin RM500 hingga RM600 sebulan, tetapi salah tetap salah kerana ia melibatkan integriti.
‘JANGAN DIBONGKAR BENDA INI’
Bagaimana pula isu penyelenggaraan kenderaan jabatan yang mengambil untung atas angin?
Dulu biasalah, kadang-kadang orang ini servis kereta jabatan, kemudian bengkel itu bagi duit belanja makan. Sampai sekarang pun masih ada benda-benda macam itu. Sepatutnya benda itu sudah tidak berlaku lagi. Tukar bateri harga RM300, caj RM700. Lagi RM300 buat annual dinner.
Ketika budaya ini berlaku, waktu itu dia belum lahir lagi. Maksudnya, siapa yang ‘turunkan ilmu’ itu? Siapa yang ajar? DNA itu sudah ada dalam sistem, jadi orang akan ikut.
Ketua dia kata, “Jangan dibongkar benda ini”. Jadi ‘pesanan’ jangan dibongkar itu sampai ke anak cucunya mendiamkan diri. Kalau kau bongkar, nanti banyak lagi yang terkena. Jadi, sama-sama senyap. Budaya itu sudah menjadi sistemik.
Apabila negara kita sudah 69 tahun merdeka ini, kita sepatutnya sudah merdeka daripada pemikiran macam itu. Kalau kita hendak maju macam Denmark, atau negara-negara yang integritinya tinggi, kita kena buang benda macam itu.
Takkanlah kita kata negara mahu menuju ke negara maju, tetapi masih fikir macam ini. Hari-hari kes pasal imigresen, pasal counter setting, pasal kontena terbang, tidak malukah?
Yang jadi pegawai kerajaan, jadi pekerja, tidak ada rasa salahkah? Ketua jabatan tak ada rasa, – “Eh, malunya aku.” Tidak adakah?
IKUT BUKU
Adakah mereka ini takut dilabel kalau buat kerja ‘ikut buku’?
Siapa yang labelkannya? Maknanya, sistem itu telah mengesahkan dan menormalkan. Membiasakan yang salah.
Biasa sudah ramai yang salah. Apabila dia betul, dia takut orang label. Orang yang macam ini akan dicantaslah. Benda itu akan berlaku. Jadi, pemikiran kena ubah. Apa yang saya khuatir adalah kita sudah menormalkan benda macam ini.
Bagaimana kita mahu memperbaiki budaya macam ini?
Saya selalu menyebutkan benda yang diperbaiki selalu melalui latihan secara berkala, dari segi penyelenggaraan, pemerhatian dan spot check.
Analoginya seperti kereta. Kereta baharu kalau kita tidak selenggara, ia akan rosak. Bila rosak, apa kita buat? Buanglah. Hantar bengkel pun sudah tidak mahu buat.
Sama juga macam jabatan ini. Kalau kita sudah tidak selenggara jabatan itu, maka rosak. Rosak dari dalam. Kita tidak tukar minyak hitam semua itu. Lama-lama hancur kereta itu.
Serupa juga, kita sudah tahu orang itu tidak betul, pegawai itu tidak betul, tetapi kita tidak mahu buang. Rosaklah jabatan itu. Kita pusing macam mana pun, rosak.
Jadi, ia macam wear and tear. Kita mesti berani untuk menukar, membuang dan menukar.
Masalahnya sekarang ini, mahu tukar orang susah. Jadi, maknanya kerajaan harus berani mengubah polisi supaya mudah untuk membuang orang yang bersalah. Tidak perlu lagi keputusan mahkamah. Sebab orang itu kita yang lantik.
Contoh syarikat saya, saya lantik awak kerja sebagai CEO. Awak tidak betul, saya buang. Sebab duit saya.
Kerajaan ini duit orang yang bayar cukai. Kenapa kita takut? Selagi benda itu kita tidak buang, macam analogi kereta itu, kalau rosak kita tidak buang, kereta itu hancur. Kalau tayar rosak, pecah, tukar tayar itu supaya dia boleh berjalan terus.
Ketua bukan hanya bertanggungjawab apabila berlaku salah laku tetapi perlu memastikan salah laku itu tidak berlaku dan dikesan lebih awal. Tanggungjawab integriti bukan hanya terletak pada pegawai di lapangan, tetapi juga pada ketua dan penyelia yang mengawasi mereka.
Pengawasan tidak boleh hanya dibuat apabila berlaku aduan. Perlu ada pemantauan berkala, termasuk spot check terhadap tugasan, proses kerja dan pematuhan pegawai.
Dalam konteks tertentu, semakan terhadap perubahan gaya hidup atau kedudukan kewangan pegawai dari semasa ke semasa juga boleh menjadi salah satu mekanisme mengenal pasti red flags yang memerlukan perhatian. Ketua dan penyelia perlu bersedia dipertanggungjawabkan sekiranya kelemahan pengawasan menyebabkan salah laku berlarutan atau tidak dikesan lebih awal.
SYOR BUANG KERJA
Setakat ini berapa ramai yang berdasarkan syor EAIC patut dibuang kerja, tetapi mereka tidak ambil tindakan?
Ada setengah kes itu kita suruh buang kerja tetapi mereka setakat diberi amaran. Contohnya, ada satu jabatan itu ketika di bawah EAIC dulu, kita buat cadangan buang kerja, tetapi tidak buang.
Dia bagi amaran sahaja. Cadangan turun pangkat, dia tidak turun pangkat. Ada juga seorang Ketua Pengarah sebuah jabatan dulu kita cadang turun pangkat. Dalam setengah-setengah kes itu kita minta dia buang kerja tetapi setakat amaranlah.
Setakat ini ada 47 kes kita berikan syor tahan pergerakan gaji, buang kerja dan penurunan pangkat.
Sebelum ini ada pihak mengatakan proses pembuangan kerja seorang penjawat awam, termasuk penguat kuasa yang terlibat dengan isu integriti, bukan mudah kerana termaktub di bawah Perlembagaan?
Kita hendak minta supaya perkara itu dipermudahkan untuk membuang orang ini. Jangan menyusahkan kerana kita tidak mahu menyimpan benda lama dan beri gambaran bahawa kita tidak tegas. Bila tidak tegas, jadi macam inilah.
Sebab tiada pembuangan secara serta-merta?
Walau macam mana pun, kita tidak mahu mengelakkan aduan sesuatu benda itu jadi fitnah semata-mata. Jadi, perlunya kita sebelum kemuka syor itu buat siasatan sedalam-dalamnya. Dan barulah kita kata kena buang kerja.
Jadi apabila kita kata kena buang kerja, agensi yang berkenaan itu kena terus ambil kes kita untuk ambil tindakan buang kerja.
Jika sesuatu jabatan itu membuat siasatan semula secara siasatan dalaman dan mengatakan pula tak ada kesalahan, ia sesuatu yang meragukanlah. Sebab siasatan dalaman ini orang dalam sendiri yang siasat.
Bayangkan siasatan dalaman itu melibatkan orang atasan yang berpangkat JUSA A atau B. Mestilah susah. Yang menyiasat itu pula gred bawah M44, ranking jauh sangat. Tetapi kalau EAIC siasat, kita tidak kisah siapa dia, pangkat apa.
Berkenaan isu pemberian tender kerajaan, kebiasaannya syarikat kontraktor mahu mendapatkan tender kerajaan melalui unsur pintu belakang dan cuba mendekati pegawai.
Benda itu berlaku bukan sebelah tangan. Maklumat itu berlaku daripada pegawai itu juga melalui orang dalam. Soalnya, kenapa orang dalam itu bagi orang luar? Mesti ada ‘percent’ yang dia dapat ataupun kartel tertentu. Jadi, kalau melibatkan kebocoran, ketirisan dalam proses perolehan kerajaan memang banyak berlaku.
Sekarang ini Akta Perolehan Kerajaan sedikit sebanyak boleh menyelesaikan masalah. Tetapi itu pun tidak boleh menyelesaikan masalah 100 peratus apabila manusia itu sendiri yang menjaga benda itu mencari peluang di mana boleh suatu benda itu dilakukan.
Sebab itu, kita kata sekarang ini hendak buat permohonan tender melalui online, e-tender. Kalau benda itu boleh dibuat, mungkin boleh mengurangkan.
Kalau guna sistem dalam talian pun orang boleh godam?
Contoh macam ini, awak pasang CCTV tetapi orang yang jaga CCTV tutup CCTV. Jadi, berbalik kepada manusia juga. Kalau manusia itu tidak ada integriti, susah.
Sekarang ini kalau kita hendak baiki negara kita berselari dengan kemajuan, kita kena dua-dua. Satu, kita kena modenkan sistem penyampaian menggunakan teknologi. Yang keduanya, orang yang jaga itu mesti dijaga juga. Yang membangunkan sistem dan berkaitan kena ada amanah juga. Kena didikan, kena dilatih.
Saya pernah melawat satu pelabuhan. Bila saya datang ke situ, mesin pengimbas itu jalan baik. Selepas saya keluar, mesin itu tidak jalan. Tiba-tiba rosak.
Selepas saya keluar dari pelabuhan itu, saya diekori oleh ‘tonto’. Macam mana dia boleh tahu? Tentunya yang beritahu itu adalah orang dalam sendiri. Maksudnya sistem itu dikawal oleh manusia.
Jadi, kalau hendak buat sistem, buat satu sistem yang tidak dikawal oleh manusia. Semua gunakan kecerdasan buatan (AI) saja untuk kawal.
Masalah rasuah ini juga berkait dengan melibatkan sistem penyampaian. Selagi banyak campur tangan manusia, selagi itulah banyak ruang dan peluang. Kalau sistem kita boleh mengurangkan sehingga 100 peratus penggunaan manusia, kita akan jadi efisien.
EAIC SIASAT KLIA
Tan Sri boleh komen tentang kes seorang juruterbang yang membawa dadah boleh terlepas di pintu KLIA. Adakah Tan Sri lihat wujud kelompongan sistem?
Kita akan siasat perkara itu. Kita akan tubuhkan satu pasukan dan membuat kajian untuk melihat keseluruhan apa yang berlaku berkenaan kes tersebut.
Mungkin melibatkan daripada segi pelaburan mesin pengimbas, mungkin juga penglibatan orang dalam dan mungkin juga kecuaian. Pelbagai sudut yang kita akan tengok.
Pertama sekali dari segi sistem itu, keperluan perbelanjaan untuk membeli sistem yang baharu. Keduanya, kita melihat sekiranya ada kecuaian atau mungkin proses kerja dalaman.
Pengalaman saya sendiri, saya pernah ditahan di Doha apabila beg saya ada peluru. Bila saya transit, saya mahu ke London. Saya transit di lapangan terbang Doha, pihak berkuasa di sana tahan saya. Dia kata dalam beg saya ada peluru.Saya kata, “No”. Saya kata saya orang yang particular tentang benda-benda keselamatan ini.
Dia kata, “You want to know? Dan dia tunjuk peluru itu. Saya kata, “Macam mana KLIA boleh lepas? KLIA pun tak dapat kesan beg saya.”
Sebenarnya saya pakai beg itu untuk latihan menembak, tetapi kebetulan jatuh satu peluru, terselit di bawah beg.
Ini menunjukkan macam mana benda ini boleh berlaku? KLIA tidak boleh kesan, sedangkan di Doha sana mereka boleh kesan?
Maksudnya pegawai di KLIA ketika itu pun tidak tengok betul-betul atau pengimbas bermasalah ketika itu?
Kita tidak menuduh apa yang berlaku. Tetapi awak tengok sendirilah pengalaman apabila melalui lapangan terbang kita. Ada pegawai yang tengok WhatsApp, ada yang berbual-bual.
Daripada segi komitmen mereeka bekerja, banyak kali saya pergi di lapangan terbang Subang atau KLIA. Tengok orang yang berdedikasi, dia buat kerja atau tidak? Awak pergi di Doha atau London, tengok macam mana pegawai mereka bertugas?
Sebab itu, kita hendak buat kajian, buat siasatan keseluruhan sistem KLIA, untuk melihat macam mana perkara ini boleh ditambah baik.
Kita melihat isu ini sesuatu yang memalukan. Seorang yang bawa risiko besar, bawa kapal terbang, dia dituduh sebagai pengedar dadah dan dia pengguna dadah. You just put the passengers in a very risky position.
Isu itu melibatkan kepercayaan awam juga, seorang figura yang kita patut percayai?
Sedikit sebanyak menghakis kepercayaan orang ramai dan juga kepada negara. Sebab itu, kadang-kadang benda yang kecil kita jangan fikir benda itu sangat kecil. Benda itu sebenarnya implikasinya sudah banyak. Kita tidak boleh ambil ringan.
Ia juga akan memberi gambaran apabila juruterbang kita macam itu, mengakibatkan juruterbang yang lain daripada syarikat sama akan mendapat nama buruk.
Kita tidak boleh menghapuskan tanggapan negatif atau terpencil. Ini memang serius. You are the national carrier, pembawa bendera negara.
Bagaimana Tan Sri bayangkan negara kita untuk tempoh 10 atau 20 tahun akan datang kalau kita tidak serius menangani isu integriti?
Saya melihat masalah daripada segi keberkesanan kerajaan akan merosot kalau kita tidak atasinya dari sekarang. Apabila generasi-generasi AI yang baharu ini, mereka tidak melihat ini sebagai satu ancaman, tetapi sebagai sesuatu yang biasa.
Cuba awak bayangkan EAIC ini tidak ada, SPRM semua tidak ada. Apa jadi 10 tahun ke depan? Gejala rasuah ini semakin berkembang. Orang kata EAIC ini ada atau tidak ada sama sahaja. Tidak ada taringlah. Tetapi sebenarnya kita boleh menyebabkan semua porak-peranda. We can harass you. Tidak semua orang suka dilihat, dipantau.
Sebenarnya saya tidak mahu ada satu anggapan mengatakan bahawa negara ini membangun kerana rasuah. Ia satu tuduhan yang memalukan kita.
Yang penting, didik generasi yang akan datang. Selama 69 tahun merdeka, campur 69 tahun lagi merdeka, sudah jadi berapa? 140 tahun ke arah itu. Apa nanti yang kita hendak isi, hendak bagi kepada generasi anak cucu kita kalau kita tidak meletakkan asas yang kuat untuk jiwa anak cucu kita?
Tan Sri, sempena bulan Merdeka ini, apa maksud sebenar kemerdekaan yang mahu diterjemahkan dalam kehidupan seharian?
Merdeka ini maknanya daripada awak diikat kepada awak tidak diikat, dilepaskan. Maknanya awak bebas untuk lakukan. Dalam konteks itu, bebas buat apa?
Dalam konteks negara, bebas untuk melakukan apa yang kita hendak untuk negara ini. Hendak membangunkan negara, mahu memberi pendidikan, hendak beri kesedaran, memberi kemajuan dan naikkan taraf ekonomi, pendapatan tinggi. Itu makna kemerdekaan. Tetapi dalam proses itu, banyak juga halangan dan itu datangnya konsep tadbir urus baik. Dalam proses membangunkan negara itu akan berlaku banyak kebocoran. Ada orang yang mengambil kesempatan atau mengambil apa yang sempat.
Pada saya, erti kemerdekaan adalah kebebasan kita untuk membangunkan negara kita ini mengikut cita rasa kita, mengikut apa yang rakyat kehendaki kepada kita. Tetapi pada masa sama kita hendaklah melihat kepada amalan terbaik. Jangan kita terlalu hendak bangunkan negara kita lupa nilai-nilai lain yang perlu ditanamkan pada masyarakat kita.
Jadi, lebih baik pembangunan yang maju, yang tinggi itu diikuti dengan nilai-nilai budaya integriti, patuh undang-undang. Barulah kita dapat erti kemerdekaan sepenuhnya.
Kredit sumber: Mingguan Malaysia
