Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan institusi perbankan yang menjual hutang terjejas kepada pihak ketiga perlu mematuhi syarat ketat bagi memastikan hak dan kebajikan peminjam terus dilindungi.
BNM dalam kenyataan kepada Harian Metro berkata, penjualan hutang terjejas atau ‘impaired loans’ kepada pembeli pihak ketiga adalah sebahagian daripada langkah pengurusan risiko kredit yang diamalkan institusi perbankan bagi memastikan pengurusan portfolio pinjaman kekal cekap dan berkesan.
Bagaimanapun, menurut bank pusat itu, institusi perbankan hanya dibenarkan menjual hutang terjejas selepas memenuhi syarat yang ditetapkan bagi memastikan peminjam menerima layanan yang adil.
“Setiap penjualan hutang terjejas oleh institusi perbankan kepada pembeli pihak ketiga perlu mendapat kelulusan BNM berdasarkan keupayaan institusi perbankan dan pembeli pihak ketiga untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.
BNM berkata, syarat serta keperluan yang perlu dipatuhi diperincikan dalam Policy Document on Disposal and Purchase of Impaired Loans/Financing yang turut menetapkan garis panduan kepada syarikat pemungut hutang dilantik pembeli pihak ketiga.
Menurut BNM, antara syarat utama ialah memastikan pembeli pihak ketiga mempunyai pengalaman dan rekod baik dalam pengurusan kutipan hutang.
Selain itu, institusi perbankan juga diwajibkan memaklumkan kepada peminjam mengenai penjualan hutang mereka kepada pihak ketiga.
BNM turut menegaskan syarikat pemungut hutang tidak dibenarkan menggunakan kekerasan atau ugutan ketika menjalankan kutipan hutang.
“Syarikat pemungut hutang perlu sentiasa mengamalkan tingkah laku bertanggungjawab dan beretika semasa mengutip hutang peminjam.
“Mereka dilarang menggunakan ugutan atau kekerasan sama ada secara fizikal, pertuturan atau melalui kaedah komunikasi lain,” katanya.
Menurut BNM, pemungut hutang juga tidak dibenarkan mengganggu ahli keluarga, jiran, saudara-mara, rakan atau majikan peminjam semata-mata untuk mendapatkan maklumat keberadaan individu terbabit.
Katanya, tindakan pergi ke tempat kerja peminjam hanya dibenarkan sebagai usaha terakhir selepas semua saluran komunikasi lain menemui jalan buntu.
“Pemungut hutang juga tidak boleh melelong atau menyita barang peminjam tanpa melaksanakan proses perundangan berkaitan,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
