KUDAT: Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah di sini dengan menahan enam individu termasuk suami isteri dalam beberapa serbuan, semalam.
Dalam operasi itu, polis turut merampas syabu seberat 161.49 gram dianggarkan bernilai RM16,000 selain menyita sebuah Perodua Myvi dan beberapa telefon bimbit.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil, berkata serbuan pertama jam 7 malam di Kampung Tanjung Kapor sebelum menahan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 32 tahun.
Pemeriksaan terhadap seorang suspek menemukan empat paket syabu seberat 60.54 gram yang disimpan dalam sebuah beg.
“Dalam operasi berasingan jam 8 malam, seorang wanita berusia 24 tahun turut ditahan di belakang Dewan Kampung Muhibbah bersama dua paket syabu seberat 100.95 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Alhusin berkata, penahanan wanita itu kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga suaminya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat pada malam sama.
“Semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
