TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) akan menyediakan tayangan skrin besar di enam lokasi di seluruh negeri bagi membolehkan orang ramai menyaksikan aksi final Piala Dunia FIFA 2026 secara beramai-ramai.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Festival Komuniti Havoc 2026 yang bertujuan menyemarakkan bahang Piala Dunia dalam kalangan belia dan masyarakat.
Katanya, selain Arena Belia Tawau, tayangan skrin besar pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 Julai itu turut diadakan di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu serta Beaufort, Kudat, Keningau dan Sandakan.
“Program malam ini menjadi pelancaran Festival Komuniti Hevoc 2026 sempena tayangan skrin besar Piala Dunia 2026.
“Insya-Allah bagi perlawanan akhir nanti kita akan mengadakan tayangan skrin besar di enam lokasi bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Sabah menikmati kemeriahan Piala Dunia bersama keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Festival Komuniti Havoc 2026 sempena tayangan skrin besar perlawanan pusingan 16 terbaik antara Mesir dan Argentina di Arena Belia Tawau, malam tadi.
Nizam berkata, penganjuran program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah sebagai usaha menghidupkan suasana Piala Dunia yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Menurutnya, walaupun berbentuk santai, program itu membawa mesej besar mengenai semangat perpaduan, kerjasama dan komitmen yang dipamerkan oleh pasukan bertanding.
“Bola sepak bukan sekadar hiburan, tetapi medium yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Semangat berpasukan yang ditunjukkan pemain di pentas Piala Dunia juga wajar dicontohi dalam kehidupan seharian kerana kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerjasama, disiplin dan komitmen semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, peluang menyaksikan final Piala Dunia secara beramai-ramai itu tidak harus dilepaskan memandangkan kejohanan berprestij berkenaan hanya berlangsung sekali setiap empat tahun.
