LAHAD DATU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Binuang akan menganjurkan Karnival Sukan Kampung Binuang pada 26 Julai 2026 (Ahad) dengan pelbagai acara menarik bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta mencungkil bakat sukan dalam kalangan penduduk.
Pengerusi JKKK Kampung Binuang, Sharifah Norhaliza Bte Syed Amil, berkata karnival itu bukan sahaja bertujuan memupuk semangat kesukanan, malah menjadi platform menyatukan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Melalui penganjuran ini, kami berharap lebih ramai belia dan penduduk setempat dapat menyertai aktiviti sihat di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti. Kami juga menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan program ini,” katanya.
Menurut beliau, antara acara utama yang bakal menjadi tumpuan ialah Pertandingan gusti lengan (tangan kanan) kategori lelaki terbuka kepada peserta amatur warga Lahad Datu serta Pertandingan Bola Tampar Wanita yang dijangka menarik penyertaan pasukan dari sekitar daerah ini.
Bagi pertandingan gusti lengan, yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM10 sama ada melalui pra-pendaftaran atau pendaftaran secara walk-in. Pendaftaran akan ditutup pada jam 10 pagi, 26 Julai 2026.
Penganjur turut menyediakan hadiah berupa hamper, pingat dan wang tunai kepada johan, naib johan serta pemenang tempat ketiga.
Orang ramai yang berminat menyertai atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi En. Latif di talian 011-16015214 atau Cik Leha di talian 013-8559995. JKKK Kampung Binuang berharap karnival ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan menjadi acara tahunan yang mampu memupuk perpaduan serta gaya hidup sihat.
