KARACHI: Sebuah pesawat kargo Boeing 737 milik K2 Airways yang membawa lima kru hilang ketika dalam penerbangan dari Sharjah ke Karachi selepas melaporkan masalah sistem navigasi, menurut pihak berkuasa penerbangan Pakistan.
Data awal penerbangan menunjukkan pesawat kargo berusia 27 tahun itu dipercayai terhempas ke Laut Arab di barat daya Karachi selepas mengalami beberapa perubahan altitud secara mendadak sebelum menjunam.
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai agensi kini giat dijalankan di kawasan laut bagi mengesan pesawat yang hilang.
Menurut kenyataan pihak berkuasa itu, pesawat terbabit melaporkan masalah pada sistem navigasi pada jam 9.18 malam waktu tempatan ketika menghampiri Karachi.
Pegawai kawalan trafik udara kemudian cuba membimbing pesawat itu, namun tiga minit kemudian radar mengesan pesawat menjunam secara mendadak sebelum semua komunikasi terputus.
Ketika itu, pesawat berada kira-kira 155 batu nautika di barat Karachi.
Media tempatan, Geo News, melaporkan pesawat itu hilang ketika terbang di ruang udara Laut Arab berhampiran Ormara, wilayah Balochistan.
Perkhidmatan penjejakan penerbangan Flightradar24 berkata, data menunjukkan pesawat itu pada mulanya kehilangan altitud, kemudian naik semula seketika sebelum menjunam sekali lagi dengan sangat pantas.
Data terakhir menunjukkan pesawat berada pada ketinggian kira-kira 335 meter dari paras laut sebelum turun pada kadar sangat luar biasa, iaitu lebih 22,000 kaki seminit.
Menurut Flightradar24, pesawat itu mula digunakan sebagai pesawat penumpang oleh syarikat penerbangan Aeroflot dari Russia pada 1999 sebelum ditukar kepada pesawat kargo pada 2012.
Ia menjadi satu-satunya pesawat milik K2 Airways dan mula digunakan syarikat itu pada 2024.
K2 Airways dan Boeing belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.
Jika kemalangan itu disahkan mengorbankan nyawa, ia akan menjadi nahas udara maut pertama di Pakistan sejak 2020.
Dalam kejadian pada 2020, sebuah pesawat Airbus A320 milik Pakistan International Airlines terhempas ketika cuba mendarat di Karachi, mengorbankan 97 orang.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
