LAHAD DATU : Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS) mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih empat pengiktirafan utama dalam pertandingan Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Mustapha, Lahad Datu pada 11 Julai lalu.
Kejayaan itu melayakkan PEIS mewakili daerah Lahad Datu ke pertandingan peringkat negeri yang dijadual berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 14 hingga 15 Oktober depan.
Antara anugerah yang dimenangi ialah Anugerah Khas Permata Kearifan menerusi inovasi Tukong Likot: Kayu Pettau, Ambung dan Gegulug, Anugerah Khas Ilham Tradisi menerusi inovasi Serempang Ialah Salah Satu Pola atau Krafkreatif, selain Anugerah Emas bagi kedua-dua kategori tersebut.
Presiden Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS), Haji Abdul Karim Haji Dakog, berkata pencapaian itu membuktikan warisan budaya masyarakat Idahan bukan sahaja mampu dipelihara, malah boleh diketengahkan sebagai inovasi yang mempunyai nilai tinggi.
Menurut beliau, PEIS turut mencatat satu lagi kejayaan apabila memenangi Anugerah Inovasi Makanan menerusi produk Cendol Salag, iaitu cendol yang dihasilkan menggunakan sarang burung walit asli bersama santan.
“Kami akan bertanding di peringkat negeri yang akan berlangsung di UMS pada 14 hingga 15 Oktober 2026. Pemenang di peringkat itu nanti akan mewakili Sabah ke pertandingan peringkat Pulau Borneo yang menghimpunkan peserta dari Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Negara Brunei Darussalam,” katanya.
Borneo Festival of Ideas (BFOI) merupakan program anjuran Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Lahad Datu.
Pertandingan itu bertujuan mengetengahkan idea kreatif serta inovasi berasaskan warisan, budaya, seni, kraf dan pembangunan komuniti, di samping memperkukuhkan usaha memelihara khazanah budaya tempatan untuk dipromosikan di peringkat lebih tinggi.
Kejayaan PEIS itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan masyarakat Idahan dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya tradisional agar terus relevan serta dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa.
