KUALA LUMPUR – Empat wanita warga Nigeria ditahan polis selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah dalam satu serbuan di sebuah unit kondominium di KL Traders Square, Jalan Gombak, Setapak, awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Annas Sulaiman, berkata serbuan dijalankan kira-kira jam 1.10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju hasil maklumat awam.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, penghuni enggan membuka pintu rumah walaupun diarahkan berbuat demikian.
“Selepas menunggu kira-kira 15 minit tanpa sebarang kerjasama daripada penghuni, pasukan serbuan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 16 Kanun Prosedur Jenayah untuk memecahkan pintu bagi memasuki premis,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam rumah menemukan empat wanita warga asing yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis tidak menemui sebarang barang salah,” katanya.
Kesemua wanita berusia antara 23 hingga 34 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
ACP Annas berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek mengaku tidak memiliki pasport dan dipercayai telah berada di Malaysia antara satu hingga lima tahun.
Beliau berkata, hak-hak tangkapan di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah turut diterangkan kepada semua suspek sebelum mereka dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.
Tiada sebarang rampasan dilakukan dalam operasi tersebut.
