KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM291,250 dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini pada 12 Oktober lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, DCP Datuk Azry Akmar Dato’ Haji Ayob, berkata serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Menurutnya, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan pelbagai jenis dadah, termasuk cecair ganja, heroin, pil yaba dan pil Erimin-5, dengan anggaran berat keseluruhan 6.315 kilogram.
“Dalam serbuan itu, polis turut menyita lima kenderaan dan barang kemas bernilai RM103,789.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta dianggarkan RM395,039,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berusia antara 40 hingga 46 tahun kini direman sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta menghubungi Bilik Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang di talian 09-505 2287 atau balai polis berhampiran bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
