PELABUHAN KLANG: Cubaan menyeludup masuk 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia melalui laluan laut tidak diwartakan gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot kayu di perairan Tanjung Karang, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan manusia di sekitar perairan berkenaan.
Menurutnya, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan kemudian diatur gerak sebelum mengesan dan menahan sebuah vesel kayu berwarna merah dan hitam tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan, kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Tanjung Karang.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong berusia 23 tahun bersama dua awak-awak warga Indonesia berusia 18 dan 28 tahun.
“Seramai 54 PATI warga Indonesia turut berada di atas bot berkenaan, terdiri daripada 31 lelaki dan 23 wanita berusia antara 18 hingga 60 tahun,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, sebahagian daripada warga Indonesia yang ditahan mempunyai pasport.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan masuk atau keluar negara melalui laluan yang tidak diwartakan, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) berkaitan cubaan menyeludup migran masuk ke Malaysia.
Kesemua individu bersama bot yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan negara.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerusi talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.-DAKWAT RAKYAT POST
