TAWAU, 22 Julai 2026 – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini.
Perintah reman sehingga 26 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri.
Remaja terbabit disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang bayi.
Sumber berkata, tempoh reman itu diperlukan bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan, termasuk menjalankan proses pengambilan sampel Asid Deoksiribonukleik (DNA) terhadap suspek.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam, seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui oleh orang awam di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa.
Bayi berkenaan kemudian diselamatkan sebelum pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menerima panggilan kecemasan tiba di lokasi dan membawanya ke Hospital Tawau untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, polis kemudiannya menahan sepasang remaja di Kampung Jawa, tidak jauh dari lokasi bayi berkenaan ditemui, kira-kira jam 10.40 malam pada hari yang sama.
Selain remaja lelaki yang direman, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun turut ditahan dan kini masih menerima rawatan di Hospital Tawau.
Difahamkan, remaja perempuan terbabit turut dikenakan tahanan selama 14 hari di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan fakta kejadian serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – DAKWAT RAKYAT POST
