KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang melaksanakan beberapa projek jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di Pekan Ranau dan Kundasang, khususnya pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan musim perayaan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kementeriannya menyedari isu berkenaan dan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menyediakan laluan alternatif serta meningkatkan kapasiti rangkaian jalan raya di kawasan terbabit.
Menjawab soalan ADUN Paginatan, Datuk Rusdin @ Musidi Riman pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau berkata, antara langkah jangka pendek yang sedang dilaksanakan ialah projek naik taraf Jalan Kampung Mohimboyon–Lipantai–Pahu sepanjang enam kilometer.
“Projek ini sedang dalam pembinaan dengan kemajuan fizikal mencapai 69.69 peratus dan dijangka siap pada tahun 2027. Apabila siap, ia akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada laluan utama serta mengagihkan aliran trafik antara Pekan Kundasang dan Pekan Ranau,” katanya.
Beliau berkata, projek naik taraf Jalan Tambiau–Sarapong sepanjang 4.05 kilometer turut sedang dilaksanakan dengan kemajuan fizikal sebanyak 5.42 peratus dan dijangka siap pada 2028.
Menurutnya, laluan itu akan berfungsi sebagai jalan alternatif ke Pekan Ranau, sekali gus meningkatkan keupayaan rangkaian jalan raya dan mengurangkan kesesakan di koridor Kundasang–Ranau.
Dr. Joachim berkata, Kerajaan juga merancang pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki di beberapa lokasi strategik bagi memperbaiki aliran trafik, terutama di kawasan berbukit yang sering mengalami kesesakan akibat pergerakan kenderaan berat.
“Sebanyak 10 cadangan pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki telah dikemukakan di bawah Program Pengurusan Trafik JKR Sabah bagi membantu mengurangkan kesesakan dan meningkatkan tahap perkhidmatan jalan di laluan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pada 2025, sebanyak RM2.3 juta diperuntukkan untuk projek berkaitan di tiga lokasi di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan iaitu KM100.00–KM100.20, KM104.42–KM104.68 dan KM106.30–KM106.70.
“Bagi tahun 2026 pula, sebanyak RM560,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek di satu lokasi iaitu KM100.40–KM100.60,” katanya.
Menurut beliau, pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki itu dijangka meningkatkan kapasiti jalan, mengurangkan masa perjalanan serta mengurangkan risiko kemalangan akibat aktiviti memotong di sepanjang laluan Tamparuli–Sandakan.
Mengenai langkah jangka panjang, Dr. Joachim berkata, Kerajaan telah meluluskan beberapa projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), termasuk cadangan pembinaan Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu.
Beliau berkata, projek sepanjang 30 kilometer itu melibatkan pembinaan jalan baharu, penaiktarafan jalan sedia ada serta pembinaan tiga jambatan dan kini berada pada peringkat kajian serta penyediaan reka bentuk terperinci.
“Apabila siap kelak, pengguna yang menuju ke Sandakan atau kawasan sekitarnya tidak lagi perlu melalui Pekan Kundasang dan Pekan Ranau, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua pekan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan fizikal projek itu masih tertakluk kepada kelulusan peruntukan.
Selain itu, Kerajaan turut meluluskan projek naik taraf Jalan Kampung Mesilau–Kampung Lipasu yang melibatkan penaiktarafan jalan gravel sepanjang lapan kilometer kepada jalan berturap.
Katanya, projek berjumlah RM138.661 juta itu diluluskan di bawah RMKe-13 dengan siling peruntukan RM40 juta dan kini berada dalam fasa pelantikan jurutera perunding bagi penyediaan reka bentuk terperinci.
“Kerajaan komited menangani isu kesesakan lalu lintas di Pekan Ranau dan Kundasang melalui pelaksanaan projek-projek yang sedang berjalan serta projek strategik di bawah RMKe-13.
“Projek-projek ini akan melengkapkan rangkaian jalan raya, menyediakan lebih banyak laluan alternatif, mengurangkan kesesakan, memendekkan masa perjalanan serta meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” katanya.
Kredit sumber: Warta Oriental
