KOTA KINABALU, 26 Julai 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 139 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam beberapa siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar ibu negeri.
Tangkapan itu dibuat menerusi Ops Bersama melibatkan agensi penguatkuasaan serta Ops Sapu yang dikendalikan Bahagian Penguat Kuasa JIM Sabah bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar undang-undang imigresen.
Dalam operasi berkenaan, seramai 247 individu telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati 139 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 32 lelaki dewasa, 41 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan warga Filipina, selain 10 wanita dewasa warga Vietnam.
Menurut JIM Sabah, operasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan itu dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini, di samping memastikan setiap warga asing mematuhi peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
Jabatan itu turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melindungi atau menggajikan PATI.
Pada masa sama, orang ramai diseru supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan.
JIM Sabah turut menegaskan bahawa tiada sebarang kelonggaran akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan isu keselamatan dan kedaulatan negara. – DAKWAT RAKYAT POST
