JOHOR BAHRU: Beberapa cadangan dan kaedah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan Ulu Tiram menghala ke Johor Bahru, khususnya pada waktu puncak, berjaya dirangka dalam Mesyuarat Penyelarasan Isu Kesesakan Lalu Lintas Jalan Kota Tinggi–Johor Bahru yang diadakan di Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), semalam.
Fauzi Faizal yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Haji Abdul Halim Sulaiman, berkata mesyuarat itu menjadi platform untuk menyampaikan pandangan, aduan serta suara pengguna jalan raya yang berdepan kesesakan setiap hari.
Menurutnya, segala input yang diterima akan dijadikan asas dalam merangka tindakan dan penyelesaian yang lebih berkesan bagi menangani isu berkenaan.
“Beberapa tindakan segera akan diambil oleh pihak-pihak berkaitan secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan demi keselesaan dan kesejahteraan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Haji Abdul Halim Sulaiman atas komitmen berterusan dalam membawa isu kesesakan lalu lintas itu ke meja perbincangan serta memastikan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Katanya, kerjasama erat antara semua agensi berkaitan diharap dapat mempercepat pelaksanaan langkah-langkah yang dirancang bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik di laluan Kota Tinggi–Johor Bahru, khususnya di kawasan Ulu Tiram.
