KUALA NERUS: Beberapa isu berkaitan tanah yang dibangkitkan oleh penduduk setempat berjaya diteliti secara terus di lokasi selepas Pegawai Penempatan (SO) Pejabat Tanah Kuala Nerus turun padang bagi meninjau aduan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, pendekatan itu membolehkan pelbagai isu termasuk sempadan tanah, status pemilikan serta perkara-perkara yang memerlukan tindakan Pejabat Tanah diberi perhatian secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, kehadiran pegawai berkaitan di lokasi memudahkan proses semakan dan membantu mempercepatkan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi penduduk.
“Pendekatan turun padang seperti ini membolehkan isu dikenal pasti dengan lebih tepat dan tindakan susulan dapat diambil dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dan agensi kerajaan bagi memastikan setiap aduan mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya.
Katanya, kerjasama erat antara wakil rakyat dan jabatan kerajaan amat penting dalam memastikan kebajikan penduduk terus terbela serta urusan mereka dapat dipermudahkan.
Beliau berharap usaha seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan demi memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.
