.
๐ฃ๐๐๐๐๐จ๐๐๐ก ๐๐๐๐ก๐, ๐ฏ๐ฌ ๐๐๐น๐ฎi โ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki bersama enam lelaki warga Indonesia yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang maritim, imigresen dan kastam dalam satu operasi di perairan Kuala Langat, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal tangki tersebut ditahan kira-kira jam 4.00 pagi pada kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika selatan Kampung Pulau Carey hasil maklumat risikan ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan Op EHSAN, Op TIRIS 4.0 dan Op KHAS TANJUNG SIRI 2.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan oleh seorang nakhoda warga Indonesia berusia 49 tahun bersama lima kru lelaki warga Indonesia berumur antara 33 hingga 58 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang dikemukakan disyaki meragukan. Selain itu, lesen operasi kapal didapati telah tamat tempoh serta gagal mempamerkan permit dan dokumen berkaitan yang diwajibkan,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kapal turut menemukan kira-kira 70 tan minyak hitam, namun nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan pemilikan atau pengangkutan muatan tersebut.
Susulan itu, kapal tangki bersama nakhoda dan kesemua kru telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki menggunakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang meragukan, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan penyeludupan melibatkan barang tidak berkastam atau barang larangan tanpa kebenaran, serta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (Merchant Shipping Ordinance 1952) kerana lesen operasi kapal telah tamat tempoh dan gagal mempamerkan permit serta perlindungan insurans yang sah.
Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang maritim dan akan terus memperhebat rondaan, risikan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di perairan negara.
Beliau turut menyeru komuniti maritim dan orang ramai supaya terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor di 013-660 6652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di 03-8995 7820 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Kredit sumber: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
