Rembau: Siapa sangka perniagaan kecil-kecilan menjual makanan salai menjadi pencetus idea bagi Mohd Zaidi Abdul Latib, 58, untuk menjual juadah unik Negeri Sembilan iaitu kuih bakar sabut kelapa.
Menceritakan kisahnya, Mohd Zaidi berkata, dia berniaga juadah unik itu di Jalan Padang, Kampung Cermin, Lubok China, di sini, sejak tujuh tahun lalu.
“Masa mula berniaga dulu, saya buka kedai makan kecil-kecilan yang menjual beberapa produk salai seperti gulai daging salai dan itik salai.
“Selepas itu, saya mula cari juadah lain sebagai menu sampingan dan ibu, Seriah Bujai, 81, mencadangkan supaya saya membuat kuih bakar menggunakan resipinya,” katanya.
Menurutnya, pada permulaan dia hanya menghasilkan kuih bakar dalam kuantiti yang sedikit.
“Namun lama-kelamaan, jumlah kuih bakar yang dihasilkan semakin meningkat hingga mencecah ratusan biji pada satu-satu masa.
“Apa yang menariknya kuih bakar ini menggunakan dapur tradisional dengan sabut serta tempurung kelapa sebagai bahan api.
“Ia membolehkan kuih yang dibakar mempunyai aroma tersendiri sekali gus menjadikannya lebih sedap,” katanya.
Menurutnya, kuih bakar itu dijual pada harga RM9 sebiji berbanding RM5 sebiji ketika mula-mula dijual memandangkan kos barang mentah meningkat.
“Saya dapat bekalan sabut serta tempurung kelapa daripada pembekal santan. Sebagai alternatif, saya juga menggunakan kayu api daripada pokok rambutan.
“Ada tiga jenis kuih bakar yang dijual iaitu pandan berharga RM9, manakala durian dan lauk daging pula masing-masing dijual pada harga RM10 setiap satu.
“Selain itu, kami juga ada menjual bahulu bakar sabut kelapa berharga RM18 bagi 50 biji,” katanya.
Katanya, jumlah tempahan kuih bakar meningkat pada hari tertentu termasuk sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Lazimnya saya membuat kira-kira 100 biji kuih bakar pada setiap hari pada hujung minggu.
“Namun, jumlah kuih dihasilkan meningkat kepada 150 biji sehari sepanjang tempoh pilihan raya ini,” katanya.
Dia berkata, jumlah peniaga bagi menu unik itu sudah makin bertambah kerana juadah berkenaan semakin popular dalam kalangan masyarakat.
“Ketika mula menjual menu ini pada 2019, saya adalah individu pertama yang menjualnya. Sebelum ini, ramai yang buat di rumah sahaja.
“Di Rembau sahaja, sudah lebih 10 peniaga yang menjual menu ini sekali gus menjadikan kuih tradisional itu semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada: Julai 29, 2026 @ 2:52pm
