KENINGAU: Usahawan wanita di Sabah diseru terus memperkukuh perniagaan masing-masing melalui pengurusan kewangan yang sistematik, penggunaan teknologi digital serta usaha membina kepercayaan pelanggan bagi memastikan perniagaan mampu berkembang secara berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, bidang keusahawanan membuka peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan sendiri, meningkatkan taraf hidup keluarga selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, wanita di Sabah mempunyai potensi besar dalam bidang perniagaan dan perlu terus diberikan ruang, sokongan serta peluang untuk mengembangkan usaha masing-masing.
“Wanita di bandar dan luar bandar perlu mempunyai peluang untuk mendapatkan ilmu, bimbingan serta akses kepada pasaran.
“Dengan sokongan yang sesuai, lebih ramai wanita berpeluang membina perniagaan berdasarkan kemahiran dan keupayaan masing-masing,” katanya ketika merasmikan Program Keusahawanan JHEWANITA 2026 di sini, Khamis.
Beliau berkata, perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan juga berpotensi berkembang sekiranya diuruskan berlandaskan ilmu, disiplin dan perancangan yang baik.
Katanya, usahawan perlu memulakan perniagaan mengikut kemampuan, memahami keperluan pelanggan serta sentiasa melakukan penambahbaikan berdasarkan pengalaman.
Dalam pada itu, Nik Mohd Nadzri menegaskan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta, institusi kewangan dan komuniti bagi menyediakan latihan praktikal, bimbingan serta maklumat berkaitan peluang pasaran dan pembiayaan.
Beliau berharap Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) terus memainkan peranan sebagai penghubung dalam membantu usahawan wanita mendapatkan akses kepada peluang dan sokongan daripada agensi serta pihak berkaitan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan peserta program melaksanakan sekurang-kurangnya satu penambahbaikan dalam tempoh minggu pertama selepas menghadiri program berkenaan.
“Antaranya ialah memperkemas rekod kewangan atau memperbaiki kaedah promosi. Langkah kecil yang dilaksanakan secara konsisten mampu memberi perubahan kepada pengurusan dan perkembangan perniagaan,” katanya.
Program berkenaan turut menampilkan pameran agensi dan usahawan, ceramah berkaitan perundangan serta keselamatan digital perniagaan, selain Forum Inspirasi Usahawan yang menampilkan usahawan Datuk Normaziah Sheikh Mohamed dan Wanita Ikon Sabah 2026/2027, Noor Farahdilah Najmuddin.
Majlis itu turut menyaksikan gimik penyerahan Geran Bantuan Peralatan Usahawan bimbingan JHEWA kepada lima wakil usahawan dan disertai kira-kira 400 usahawan.
Hadir sama Pengarah JHEWA, Haslina Ismail dan Pegawai Daerah Keningau, Norsih Nusuri.-DAKWAT RAKYAT POST
