BINTULU, 30 Julai: Seni pembuatan layang-layang di Bintulu terus berkembang daripada sekadar hobi kepada perusahaan kecil yang mampu menjana pendapatan, sekali gus membantu memelihara warisan budaya tempatan.
Permintaan terhadap layang-layang buatan tangan turut meningkat setiap kali menjelang penganjuran Borneo International Kite Festival (BIKF), dengan tempahan mencecah ratusan unit daripada pelanggan di seluruh Sarawak dan Brunei.
Pembuat layang-layang, Halim Sanai berkata, minatnya terhadap seni pembuatan layang-layang bermula sejak kecil sebelum beliau mula mengkomersialkan hasil karyanya selepas BIKF diperkenalkan pada tahun 2009.
Menurutnya, keunikan layang-layang yang dihasilkan bukan terletak pada bentuk asas, sebaliknya pada seni lukisan dan reka bentuk yang disesuaikan mengikut kehendak pelanggan.
“Kalau nak ikut unik, coraknya biasa sahaja. Cuma daripada segi lukisan dan bentuk yang dibuat mengikut permintaan. Kalau mahu bentuk haiwan, kita buat bentuk haiwan. Kalau mahu bentuk tumbuhan, kita boleh hasilkan juga,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.n
Beliau berkata, layang-layang keluaran Bintulu mempunyai perbezaan tersendiri berbanding wau tradisional dari Pantai Timur Semenanjung, khususnya dari aspek pembinaan rangka.
“Kalau wau di Terengganu atau Kelantan menggunakan banyak tulang untuk membentuk wau tersebut, layang-layang di sini hanya memerlukan dua atau tiga batang buluh, namun masih boleh direka mengikut spesifikasi yang diminta pelanggan,” jelasnya.
Kos pembuatan pula bergantung kepada jenis dan reka bentuk yang ditempah, dengan harga bermula sekitar RM10 bagi layang-layang pertandingan asas sehingga RM250 bagi layang-layang hiasan.
Bagi layang-layang yang dipertandingkan, proses pembuatannya memerlukan ukiran serta seni tampalan yang lebih teliti dan terperinci bagi menghasilkan rekaan yang menarik.
Halim berkata, pelbagai bahan digunakan dalam penghasilan layang-layang tradisional, termasuk buluh, kertas dan bahan kitar semula, selain corak yang boleh dihasilkan melalui teknik ukiran, semburan grafiti dan tampalan mengikut permintaan pelanggan.
Tambahnya, permintaan terhadap layang-layang meningkat dengan ketara pada musim perayaan dan menjelang festival.
“Pada musim perayaan, tempahan boleh mencecah antara 200 hingga 300 unit, manakala pada hari biasa, saya menerima antara 10 hingga 50 tempahan seminggu,” katanya lagi.
Menurutnya, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk Bintulu, malah turut melibatkan pelbagai daerah di Sarawak seperti Kuching, Sarikei, Betong, Kabong, Kapit, Miri dan Lawas, selain menerima tempahan dari Brunei.
Perkembangan seni pembuatan layang-layang di Bintulu membuktikan warisan tradisional masih mempunyai nilai komersial yang tinggi apabila dipelihara dan diinovasi mengikut permintaan semasa, sekali gus berpotensi menjadi produk pelancongan serta sumber pendapatan kepada penggiat seni tempatan.
Kredit sumber: TVS Sarawak
