Screenshot
PADANG: Tindakan seorang lelaki warga Malaysia menyembunyikan empat jongkong emas seberat kira-kira empat kilogram di dalam kasut yang dipakainya terbongkar apabila dia ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang, Sumatera Barat.
Suspek berusia 34 tahun yang dikenal pasti menggunakan inisial CMG itu ditahan pada 12 November lalu ketika bersiap untuk menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.
Ketua Pejabat Kastam Teluk Bayur, Ade Zirwan berkata, penahanan dilakukan selepas pegawai bertugas mengesan gerak-geri mencurigakan lelaki berkenaan di kawasan pelepasan antarabangsa.
Pemeriksaan lanjut dengan bantuan anggota keselamatan lapangan terbang (Avsec) membawa kepada penemuan empat jongkong emas yang disembunyikan di dalam kasut suspek, masing-masing dua jongkong pada setiap kasut.
Hasil ujian makmal menggunakan peralatan XRF Handheld Type Niton XL3t mengesahkan jongkong berkenaan mempunyai kandungan emas melebihi 99 peratus dengan berat keseluruhan kira-kira 4,000 gram.
Nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan mencecah Rp10 bilion.
Menurut Ade Zirwan, suspek gagal mengemukakan dokumen kastam yang diperlukan untuk membawa keluar emas berkenaan dari Indonesia.
Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Khas Polis Sumatera Barat, Komisioner Kanan Siswantoro berkata, pihaknya sedang menyiasat asal-usul serta pemilikan emas berkenaan, termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain.
Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan kesalahan berkaitan aktiviti perlombongan berdasarkan sumber asal emas berkenaan.
Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sumatera Barat bagi membantu siasatan.
Dia disiasat mengikut Perkara 102A Undang-Undang Nombor 17 Tahun 2006 berkaitan Kepabeanan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta denda sehingga Rp5 bilion jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian pihak berkuasa Indonesia susulan peningkatan kegiatan penyeludupan emas rentas sempadan.-DETIK
