KOTA KINABALU, 31 Julai 2026 – Kerajaan Sabah terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan modal insan menerusi penyediaan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak negeri untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan langkah terbaik untuk melahirkan generasi berilmu yang mampu membawa perubahan kepada keluarga, masyarakat dan masa depan Sabah.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), kelmarin.
Menurut beliau, sehingga kini seramai 13,389 pelajar telah menerima tajaan BKNS, manakala 2,182 lagi bakal menerima tajaan baharu bagi tahun 2026.
Katanya, kerajaan negeri bukan sahaja meneruskan pelaksanaan skim BKNS, malah turut memperluaskan akses pendidikan menerusi pelbagai bentuk kerjasama strategik, termasuk usaha membangunkan bakat anak Sabah dalam bidang penjagaan kesihatan bersama Institut Jantung Negara.
Dalam masa sama, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memperkasakan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan bagi memastikan lebih ramai pelajar dapat meneruskan pengajian tanpa dibelenggu masalah kewangan.
Antara bantuan yang diteruskan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Aktiviti Institusi Pengajian Tinggi (BAIK), subsidi penerbangan pelajar melalui SUBFLY serta Skim Tajaan Pendidikan Tinggi Sabah (SENTOSA).
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima biasiswa atas kejayaan yang dicapai dan berharap pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin untuk mereka terus meningkatkan prestasi akademik serta membina sahsiah yang cemerlang.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pelajar menguasai bidang strategik yang menjadi keperluan masa depan seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tenaga, minyak dan gas serta kecerdasan buatan (AI).
Hajiji menegaskan kerajaan negeri akan terus menjadikan pendidikan sebagai antara keutamaan kerana kejayaan generasi muda hari ini merupakan asas penting dalam memacu pembangunan serta kemajuan Sabah pada masa hadapan. – DAKWAT RAKYAT POST
