GEDONG: Pemimpin kampung perlu berilmu, berwawasan serta berkeupayaan memberi inspirasi kepada masyarakat bagi memastikan pembangunan luar bandar bergerak seiring kemajuan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan bahawa program ‘Satu Pemimpin, Satu Kampung’ menjadi platform memperkukuh peranan pemimpin setempat dalam menterjemahkan aspirasi kerajaan kepada pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.
“Pemimpin perlu memberi inspirasi, semangat baharu dan mampu melihat masa depan bersama-sama anak kampung untuk mengubah keadaan kampung masing-masing,” katanya ketika berucap pada program ‘Satu Pemimpin Satu Kampung’ di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong hari ini.
Abang Johari berkata, pembangunan Gedong dan kawasan sekitarnya perlu dirancang secara tersusun bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, meluaskan akses pasaran serta merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.
“Pembangunan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Serian, Gedong dan Samarahan serta kawasan lain di Sarawak akan membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
“Justeru masyarakat luar bandar perlu bersedia menerima perubahan khususnya dalam sektor pertanian yang semakin mengutamakan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran,” ujarnya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi pertanian moden termasuk variety padi yang mampu tumbuh semula selepas dituai berpotensi membantu meningkatkan pengeluaran makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah penanaman konvensional.
Dalam bidang pendidikan, Abang Johari berkata, kerajaan Negeri akan terus memperluas peluang pendidikan dan latihan bagi melahirkan generasi berkemahiran yang mampu memenuhi keperluan ekonomi masa depan, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu.
Ujarnya, melalui inisiatif pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, Sarawak memperuntukkan kira-kira RM200 juta bagi membantu sekitar 10,800 pelajar melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, pembangunan luar bandar turut memerlukan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan, penyelidikan dan kesiapsiagaan menghadapi penyakit berjangkit selaras dengan usaha Negeri membangunkan kemudahan penyelidikan penyakit tropika di Samarahan.
“Maka itu kesinambungan kepimpinan kampung penting bagi memastikan generasi muda dapat membawa pendekatan dan idea baharu untuk menghadapi cabaran pembangunan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas kerjasama menjayakan program berkenaan yang menghimpunkan pemimpin serta masyarakat setempat bagi memperkukuh pembangunan kampung dan negeri.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee danTimbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online – Disiarkan pada 18 Oktober 2026
