Islamabad: Pasukan penyelamat Pakistan pada Jumaat berjaya menemukan tiga mayat daripada sekumpulan sekurang-kurangnya 10 pendaki yang terperangkap dalam kejadian runtuhan salji di Gunung Broad Peak, Khamis lalu.
Menurut laporan Reuters, rakaman dron menunjukkan tanda-tanda keberadaan beberapa lagi mayat di kawasan pencarian, kata pihak berkuasa wilayah Gilgit-Baltistan, tempat di mana gunung berkenaan terletak.
Antara pendaki yang dilaporkan masih hilang ialah pendaki terkenal Nepal, Nirmal Purja, 43. Beliau sebelum ini mencipta rekod dunia dengan mendaki 14 gunung tertinggi di dunia dalam tempoh terpantas – pencapaian luar biasa yang turut dipaparkan dalam dokumentari Netflix pada 2021, 14 Peaks: Nothing Is Impossible.
Bekas anggota pasukan khas tentera British itu berada di Gunung Broad Peak bersama pasukannya dari Elite Exped – syarikat pendakian milik beliau – dalam misi menawan puncak gunung ke-12 tertinggi di dunia itu.
Kumpulan pendaki berkenaan dipercayai dihempap runtuhan salji di gunung setinggi 8,051 meter itu pada tengah hari Khamis.
Terdahulu, portal The Guardian melaporkan Kelab Alpin Pakistan (ACP) memaklumkan bahawa seramai tujuh pendaki berjaya dikesan menerusi rakaman dron pada peringkat awal operasi pencarian.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan bahawa identiti dan keadaan sebenar kesemua pendaki yang dikesan itu masih belum dapat dipastikan berikutan bentuk muka bumi yang ekstrem dan mencabar.
Laporan terbaharu agensi berita AFP mengesahkan bahawa tiga mayat yang ditemukan oleh pasukan penyelamat tempatan berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Pegawai daerah Gilgit-Baltistan mengesahkan tiga mangsa maut itu ialah warga Amerika Syarikat, Sarah Mallory; warga Oman, Nadhira Ahmed Abdullah Al Harthy; dan warga Nepal, Pur Bahadur Gurung.
Nadhira Al Harthy adalah pendaki terkemuka yang pernah mencipta sejarah sebagai wanita Oman pertama berjaya menakluki puncak Gunung Everest.
Sementara itu, pendaki lain yang masih dilaporkan hilang termasuk seorang warga China, Wang Zhong, serta beberapa warga Pakistan dan Nepal.
Operasi pencarian visual bagi mengesan baki mangsa terpaksa digantung pada lewat malam Jumaat berikutan faktor cuaca buruk serta kekangan operasi helikopter di kawasan terbabit.
Kredit sumber: Agensi/Harian Metro
