KALABAKAN, 1 Ogos 2026 – Kerajaan Sabah bakal memperoleh pegangan sebanyak 40 peratus dalam projek fasiliti gas asli cecair terapung (Floating Liquefied Natural Gas, FLNG) di negeri ini menerusi perjanjian yang dijangka dimeterai bersama PETRONAS dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkembangan itu merupakan satu lagi pencapaian penting hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, sekali gus memperkukuh penglibatan Sabah dalam industri minyak dan gas.
Menurut beliau, kejayaan tersebut turut berpunca daripada perjanjian kerjasama yang dimeterai sebelum ini dengan PETRONAS, yang membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk memainkan peranan lebih aktif dalam sektor strategik berkenaan.
Selain itu, katanya, Sabah juga akan menerima pegangan sebanyak 20 peratus dalam projek pembangunan lapangan minyak dan gas baharu yang ditemui di perairan Sandakan.
“Kita telah mencapai persetujuan dengan PETRONAS dan dalam beberapa bulan lagi dijangka menandatangani satu lagi perjanjian yang membolehkan Sabah memiliki 40 peratus kepentingan dalam projek FLNG di negeri ini.
“Bagi lapangan minyak dan gas yang ditemui di Sandakan pula, kerajaan negeri akan menerima bahagian sebanyak 20 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, hari ini.
Sebelum itu, Hajiji menghadiri sesi taklimat pembangunan daerah yang disampaikan Pegawai Daerah Kalabakan, Murad Abdul Rashid, di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kalabakan.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal; Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone J. Kurum serta Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan terus memberikan manfaat kepada Sabah, termasuk dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing.
Menurutnya, dasar kerajaan negeri yang mesra pelabur berjaya meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi ekonomi Sabah.
Katanya, sepanjang lima tahun lalu hampir 40 diplomat dan pesuruhjaya tinggi dari pelbagai negara telah mengadakan pertemuan dengannya bagi meninjau peluang pelaburan di negeri ini.
“Mereka melihat dasar kerajaan yang mesra pelabur sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sabah dan inilah pendekatan yang terus kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata kawasan perindustrian utama seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kini hampir mencapai kapasiti maksimum berikutan pertambahan pelabur.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sedang memperluaskan kawasan perindustrian baharu termasuk di POIC Pantai Timur serta pembangunan taman industri berasaskan ekonomi biru.
Mengenai pembangunan Kalabakan, Hajiji menegaskan kerajaan negeri komited memastikan daerah itu berkembang secara seimbang selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata antara projek yang diberi perhatian ialah cadangan pembangunan Bandar Baharu Kalabakan melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan daerah pada masa depan.
“Apabila projek ini direalisasikan, Bandar Baharu Kalabakan akan menjadi pusat pertumbuhan baharu yang menempatkan pelbagai pembangunan bagi merancakkan ekonomi setempat,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan infrastruktur di Kalabakan, termasuk menaik taraf rangkaian jalan raya serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang bakal menjadi pintu masuk utama Sabah dari Kalimantan Utara, Indonesia.
Menurut Hajiji, lawatan beliau ke Kalabakan hari ini juga bertujuan melihat sendiri perkembangan pembangunan di daerah berkenaan bagi memastikan rakyat di kawasan itu terus menikmati manfaat daripada pelaksanaan pelbagai projek kerajaan. – DAKWAT RAKYAT POST
