SEMPORNA, 4 Ogos 2026 – Penurunan kehadiran pelancong ke Semporna sejak kebelakangan ini dipercayai dipengaruhi oleh peningkatan kos penerbangan serta kos operasi yang semakin meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada pengusaha industri pelancongan di daerah itu.
Setiausaha Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI), Anyrishah Mohd Shah berkata, kenaikan harga tiket penerbangan yang dilihat meningkat hampir dua kali ganda berbanding sebelum ini menjadi antara faktor yang memberi kesan terhadap kedatangan pelancong ke Semporna.
Menurutnya, peningkatan kos domestik turut memberi impak kepada keseluruhan rantaian industri pelancongan termasuk kos operasi yang perlu ditanggung oleh pengusaha.
Katanya, kebanyakan pengusaha pelancongan masih bergantung kepada penggunaan diesel dan petrol bagi memastikan kelancaran operasi seperti pengangkutan laut, bot serta perkhidmatan berkaitan pelancongan.
“Walaupun berdepan dengan peningkatan kos penerbangan dan kos operasi yang semakin ketara, pengusaha bumiputera di Semporna tetap berusaha mengekalkan harga pakej pelancongan agar tidak membebankan pelancong, terutama ketika jumlah pelancong domestik dan antarabangsa semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan.
Anyrishah berkata, PUSPABUMI sebelum ini turut mengemukakan rayuan berkaitan subsidi diesel kepada pihak kerajaan memandangkan kebergantungan pengusaha pelancongan terhadap bahan api memberi kesan besar terhadap peningkatan kos operasi.
Beliau berharap kerajaan dapat memberi perhatian serius terhadap cabaran yang dihadapi pengusaha pelancongan, khususnya pengusaha bumiputera di Semporna yang kini berdepan tekanan kos yang semakin meningkat.
Menurutnya, sokongan dan perhatian kerajaan amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan yang menjadi antara sumber ekonomi utama masyarakat setempat.
Dalam pada itu, PUSPABUMI turut berharap kerajaan dapat mempergiatkan kempen keselamatan serta promosi pelancongan bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk terus berkunjung ke Semporna.
Anyrishah berkata, usaha berkenaan penting supaya setiap perbelanjaan yang dikeluarkan pelancong untuk tiba ke destinasi berkenaan berbaloi dengan pengalaman, perkhidmatan serta jaminan keselamatan yang ditawarkan.
PUSPABUMI kekal komited untuk terus bekerjasama bersama kerajaan dalam memperkukuhkan industri pelancongan Semporna demi manfaat semua pihak. – DAKWAT RAKYAT POST
