SHAH ALAM: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan dua sindiket dadah terancang dalam dua operasi berasingan pada akhir Julai lalu dengan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM20.7 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi pertama menerusi Op Kalidasa dilancarkan pada 29 Julai lalu.
“Dua siri serbuan dan berjaya menangkap dua lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 24 dan 26 tahun di sekitar Selangor.
“Serbuan pertama di kawasan Batu 22, Mukim Ijok, Sungai Buloh dan telah menahan dua suspek ketika sedang memunggah guni-guni disyaki berisi dadah ke dalam dua buah kenderaan.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas 21 guni plastik mengandungi 409 bungkusan ketulan dan serbuk syabu seberat 409.40 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, serbuan kedua di sebuah rumah di Petaling Jaya membawa kepada penemuan 900 katrij vape mengandungi cecair disyaki jenis MDMA.
“Jumlah keseluruhan dadah dirampas, methamphetamine (syabu) seberat 409 kilogram, 900 katrij vape mengandungi cecair MDMA seberat 1.8 liter.
“Jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM20.7 juta dan mampu merosakkan 2.04 juta pengguna,” ujarnya.
Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis ganja dan direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Kredit sumber: Buletin TV3
