LAHAD DATU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menahan empat individu serta merampas 92 kilogram serbuk ketum dan sejumlah kecil dadah disyaki syabu menerusi Op Tapis yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Dzulbahrin Ismail, berkata operasi berkenaan berjaya merampas 92 bungkusan serbuk ketum dengan anggaran berat keseluruhan 92 kilogram bernilai kira-kira RM9,200.
Beliau berkata, polis turut merampas 0.12 gram dadah disyaki syabu bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
“Hasil ujian saringan awal mendapati seorang daripada empat suspek yang ditahan positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan Methamphetamine (METH),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat untuk tindakan lanjut.
Dzulbahrin berkata, BSJND IPD Lahad Datu akan terus mempergiatkan operasi dan penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah dan bahan terlarang.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
