Naratifnya kini pihak BN, PN dan sekutunya yang lain sedang berencana menawan Putrajaya.
Boleh sahaja Dewan Rakyat terbubar masa kini, namun PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih memilih untuk membongkar terlebih dahulu skandal-skandal rasuah melibatkan pihak lawan, terutamanya UMNO supaya dilondehkan kepada umum.
Malah, ada yang menyatakan ia hanyalah taktik politik supaya pihak lawan dipandang serong terutamanya masyarakat Melayu Muslim yang sentiasa tersentuh mengenai perihal skandal rasuah Tabung Haji, penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin.
Al kisahnya sebenarnya kerana mereka sudah berasa muak akan cerita sebegitu dan menanam acuan minda mereka, siapa pun kerajaan tetap akan menggunakan taktik memeras via SPRM dan LHDN untuk melemahkan momentum pihak lawan.
Lagipun, sekiranya mahu dilihat secara telus, ramai yang tertanya-tanya mengapa sekarang, kenapa bukan pada tahun awal Kerajaan Madani beroperasi kira-kira tiga tahun setengah yang lalu.
Melihat kepada perkembangan ini, suka diingatkan rata-rata masyarakat di peringkat akar umbi enggan mengambil kisah perihal skandal tersebut dan lebih memilih untuk menyaksikan kerajaan sedia ada tumbang sebelum tarikh sebetulnya.
Rakyat sama ada B40, T20 berasakan agak terbeban dengan konflik berpanjangan ini dari sudut ruang ekonomi dan keseimbangan sosio yang agak cenderung kepada permasalahan demi permasalahan.
Jika dibuka ruang media sosial, boleh dilihat dengan pelbagai serangan budaya ke atas kaum majoriti dan minoriti, ketidaksefahaman terhadap isu bahkan melibatkan persengketaan menjerumuskan elemen 3R berleluasa kini.
Ia juga memberi signal secara jelas rakyat tidak gembira dengan setiap apa yang berlaku.
Ketidakwarasan politik juga salah satu pemecah perpaduan tersebut yang mana ditafsirkan gagal ditangani oleh kerajaan.
Apatah lagi, pengelola utama kerajaan iaitu PH, telah menerima tamparan demi tamparan hebat angkara rentetan kekalahan memalukan pada tiga PRN yang lalu bermula di Sabah, Johor dan terbaru, di Negeri Sembilan.
Prestasi hambar PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah itu membuka ruang kepada satu pakatan baharu, BN/PN mengungguli kerusi-kerusi DUN terutama BN.
Meskipun ada pemimpin di peringkat Parlimen yang menganggotai Madani mengatakan ia tidak akan mengganggu pentadbiran peringkat Persekutuan, namun demikian jika difikir secara logik bagaimanakah mereka akan bersemuka di meja mesyuarat Kabinet esok?
Sebagai contoh, Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang dimalukan selepas tewas kerusi Chennah di Negeri Sembilan tempoh hari…mampukah beliau berpura-pura senyum kepada jiran tempat duduknya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri yang menjadi arkitek kemenangan besar BN di Negeri Sembilan?
Apa natijahnya Kerajaan Perpaduan ini dikekalkan sedangkan pemimpin di atas terus berseteru dan saling berprasangka di antara satu sama lain.
Oleh yang demikian, satu jalan penyelesaian secara tuntas perlu diambil kerana ia boleh berlarutan dengan buruk yang akhirnya mengheret rakyat kepada konflik politik yang nampaknya tidak putus-putus.
Kini, jika dihitung, pakatan baharu yang boleh sahaja digelar ‘Blue Wave’ itu kini hanya memiliki 98 angka Ahli Parlimen, kurang mencukupi untuk membuatkan Kerajaan Madani runtuh sebelum tamat tempoh.
Mereka memerlukan sekurang-kurangnya angka 20 ahli parlimen atau lebih untuk memalukan PH dan Anwar Ibrahim yang selanjutnya terdesak membubarkan Parlimen sebelum pembentangan Bajet negara pada Oktober hadapan.
Sehubungan itu, Blue Wave ini memerlukan ihsan daripada GPS di Sarawak, GRS di Sabah, Warisan serta serpihan Ahli Parlimen Bebas blok kerajaan untuk memenuhi kriteria tersebut.
Akan tetapi, sehingga hari ini kelompok berkenaan (GPS, GRS, Warisan dan lain-lain) masih mengamalkan sikap berdiam diri.
Namun demikian, ramai mempercayai bahawa telah berlaku rundingan di atas dan bawah awan Malaysia ini, maka sebarang kemungkinan boleh berlaku pada hari, minggu dan bulan ke hadapan.
Dengan PRN Melaka yang kini menghitung hari, PMX dijangka berdepan pilihan yang minimum meskipun menyedari pembubaran tetap akan terjadi cepat ataupun lambat.
DAP bakal berkonvensyen khas pada 16 Ogos hadapan dan ia telah mengundang representasi bahawa parti kerusi terbanyak di PH itu bakal keluar kabinet atau lebih teruk meninggalkan Madani demi menyelamatkan saki baki momentum sokongan pengundi mereka terutama masyarakat Tiong Hua.
Bahkan, juga terdapat ura-ura bahawa BN bakal meninggalkan Madani kerana tekanan daripada rentetan RCI Tabung Haji, pendakwaan mahkamah bekas Perdana Menteri; Datuk Seri Ismail Sabri serta pelbagai pembongkaran yang dijangka melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO atau BN pada tempoh terdekat ini.
Jika ia berlaku, maka tidak salahlah bahawa istilah Gendang PRU16 sudah dipalu, tinggal siapa yang CUI BONO dalam kemelut politik ini akan menduduki kerusi Perdana Menteri ke-11 dan mendirikan kerajaan nanti.
