TAWAU, 8 Ogos 2026 – Kepelbagaian etnik di Tawau dilihat mampu menjadi kekuatan dalam membentuk masyarakat yang lebih harmoni, sekali gus tidak seharusnya dijadikan sebagai faktor yang memisahkan hubungan antara komuniti.
Atas semangat itu, Pertubuhan Perpaduan Etnik Tawau (PPET) diwujudkan sebagai wadah yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik bagi mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan dan memperkukuh perpaduan di daerah berkenaan.
Pengerusi PPET, Rosnaini Herman berkata, penubuhan pertubuhan itu tercetus daripada kesedaran beliau bersama rakan-rakan mengenai kepelbagaian etnik yang menjadi antara keunikan masyarakat Tawau.
Menurutnya, kebanyakan pertubuhan sebelum ini lebih banyak memberi tumpuan kepada kelompok etnik tertentu, sekali gus menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat berasa kurang selesa untuk menyertai pertubuhan yang mewakili etnik lain.
“Daripada situ, saya mencadangkan kepada rakan-rakan supaya diwujudkan sebuah pertubuhan yang boleh menghimpunkan semua etnik di bawah satu usaha perpaduan.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Matlamat kita bukan untuk mengambil mana-mana etnik, tetapi mahu merapatkan hubungan antara semua etnik dan bersama-sama membantu masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian PPET yang menghimpunkan wakil daripada pelbagai etnik di Tawau, semalam.
Rosnaini berkata, sehingga kini sebanyak 20 etnik telah mendaftar sebagai anggota PPET, manakala pihaknya masih membuka ruang kepada lebih banyak kelompok etnik untuk menyertai usaha berkenaan.
Katanya, Tawau mempunyai kira-kira 32 etnik dan beliau berharap kesemua kelompok berkenaan dapat bergerak seiring dalam memperkukuh hubungan serta perpaduan masyarakat.
“Kita mahu semua etnik dapat bersama-sama dengan kita supaya hubungan silaturahim dapat diperkukuhkan. Ini bukan mengenai mengambil atau menguasai mana-mana etnik, sebaliknya kita mahu bergerak bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Datuk Saharuddin Salleh yang mewakili Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, menyifatkan penubuhan PPET sebagai satu inisiatif positif dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang etnik di Tawau.
Beliau berkata, kehadiran wakil pelbagai kaum dan etnik pada majlis berkenaan membuktikan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat di daerah itu.
“Pada malam ini kita dapat melihat pelbagai kaum dan etnik berkumpul bersama. Ini merupakan satu usaha yang sangat baik dan membanggakan, malah mungkin antara inisiatif terawal seumpamanya di Tawau.
“Kita berharap pertubuhan ini akan terus berkembang dan lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Saharuddin, kewujudan PPET juga memberi peluang untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya serta identiti masyarakat Tawau kepada khalayak yang lebih luas.
Katanya, usaha menghimpunkan pelbagai etnik perlu diteruskan kerana kepelbagaian masyarakat bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya boleh menjadi kekuatan dalam membina komuniti yang saling menghormati, bekerjasama dan hidup dalam suasana harmoni.
Usaha berkenaan turut dilihat mampu mewujudkan lebih banyak ruang interaksi antara masyarakat daripada latar belakang berbeza, sekali gus mengukuhkan semangat kekitaan dan keharmonian di Tawau. – DAKWAT RAKYAT POST
