MATUNGGONG: Barisan Nasional (BN) tidak menutup ruang rundingan dengan parti politik lain berhubung pertukaran kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebarang rundingan mengenai pertukaran kerusi boleh dilakukan berdasarkan prinsip ‘swap’ atau pertukaran kerusi, dengan jumlah kerusi yang ditukar mestilah setara.
Menurutnya, kerusi yang dimenangi mana-mana parti pada pilihan raya terdahulu pada asasnya akan terus dipertahankan parti berkenaan dan tidak diserahkan kepada rakan politik lain.
Bagaimanapun, katanya, ruang perundingan masih terbuka sekiranya terdapat persetujuan antara parti yang terlibat.
“Sebarang perundingan di mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, kedudukan itu tidaklah dihormati, tetapi perundingan boleh dilakukan untuk ‘swap’ atau pertukaran kerusi, asalkan jumlah kerusi itu sama,” katanya.
Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, prinsip sama dijangka menjadi pendirian parti-parti politik lain yang mempunyai kawasan kuasa masing-masing dan tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenangi kepada rakan politik tanpa pertimbangan sewajarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang rundingan pertukaran kerusi perlu dilaksanakan dengan mengutamakan kejujuran dan keikhlasan antara parti.
Katanya, pintu rundingan perlu terus dibuka tanpa terlalu luas sehingga menjejaskan kepentingan parti, atau ditutup rapat sehingga tidak memberi ruang kepada sebarang kemungkinan kerjasama.
“Prinsip kami adalah tidak mustahil kalau pintu itu terus terbuka untuk perundingan. Tetapi jangan buka seluas-luasnya, jangan tutup pintu itu serapat-rapatnya. Ertinya masih ada ruang untuk perundingan itu di dalamnya,” katanya.
Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Festival Kebudayaan Rungus di Matunggong, Sabah, hari ini.
