MATUNGGONG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM4.06 bilion kepada Kerajaan Sabah bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar di seluruh negeri, termasuk di kawasan Kudat dan Kota Marudu.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada penduduk luar bandar, termasuk mereka yang tinggal di kawasan jauh dari pusat bandar.
Menurutnya, peruntukan berkenaan sebelum ini dicadangkan pada nilai lebih tinggi bagi memastikan pelaksanaan projek bekalan air dapat dipercepatkan dan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan luar bandar.
“Oleh sebab itu, kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya, peruntukan untuk bekalan air luar bandar. Saya telah memohon Kabinet, memohon kepada Jemaah Menteri sebanyak RM5 bilion peruntukan itu diberikan kepada Kerajaan Sabah dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah agar bekalan air luar bandar dapat sampai sesegera yang mungkin ke destinasi atau kawasan-kawasan rumah walaupun jauh tetapi sampai air bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Kebudayaan Rungus di Matunggong, Sabah, hari ini.
Zahid berkata, peruntukan itu turut merangkumi pelaksanaan projek bekalan air di kawasan Kudat dan Kota Marudu, sebagai antara kawasan yang memerlukan perhatian dalam usaha memperluas akses kepada bekalan air bersih.
Beliau berharap pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepatkan menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk luar bandar dengan segera.
