TAWAU, 8 Ogos 2026 – Kerajaan Sabah terus memperkukuh mekanisme perlindungan kanak-kanak bagi memastikan golongan berkenaan lebih terlindung daripada pelbagai bentuk ancaman di alam digital, termasuk buli siber, eksploitasi seksual serta penipuan dalam talian.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA) memberi tumpuan kepada langkah pencegahan, pengesanan awal, perlindungan, intervensi psikososial serta proses pemulihan mangsa.
Menurutnya, pendekatan itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), selain menerusi pengukuhan kerjasama antara agensi berkaitan bagi memastikan setiap laporan atau ancaman yang membabitkan kanak-kanak dapat ditangani dengan segera dan berkesan.
“Sebarang masalah jenayah atau aduan yang melibatkan kanak-kanak akan disalurkan terus kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta jabatan berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Kerjasama dan integrasi antara semua jabatan kerajaan sentiasa diberi perhatian supaya usaha melindungi kanak-kanak dapat dilaksanakan secara lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Sukan dan Kebudayaan Tingkatan Enam (SUKTEM) Peringkat Negeri Sabah di Tawau, hari ini.
Rina berkata, aspek pendidikan berkaitan keselamatan digital juga perlu dipertingkatkan secara menyeluruh dengan melibatkan kanak-kanak, ibu bapa, penjaga serta komuniti.
Katanya, usaha itu penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pelbagai risiko yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan internet.
Dalam masa sama, beliau berkata kemahiran dan keupayaan pegawai kebajikan akan terus diperkasa, khususnya dalam mengenal pasti serta mengendalikan kes penderaan dan eksploitasi kanak-kanak yang berlaku melalui platform dalam talian.
“Perlindungan kanak-kanak di ruang digital tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu keluarga.
“Ia memerlukan penglibatan bersama kerajaan, penyedia platform digital, pihak sekolah dan masyarakat supaya keselamatan kanak-kanak dapat dipastikan,” katanya.
Rina berkata, JPKA juga terbuka untuk menambah baik mekanisme perlindungan di peringkat negeri bagi membolehkan tindakan terhadap ancaman digital dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sabah turut memberikan sokongan terhadap kerangka perundangan dan dasar di peringkat nasional berkaitan perlindungan kanak-kanak.
Ia termasuk usaha memperkukuh Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta kerangka kawal selia yang melibatkan penyedia platform digital.
Menurutnya, kerjasama berterusan antara PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti amat penting bagi membendung ancaman terhadap kanak-kanak.
“Kanak-kanak perlu mendapat perlindungan yang sewajarnya, sama ada ketika berada di dunia fizikal mahupun ketika menggunakan ruang digital.
“Fokus kita adalah mencegah risiko, melindungi mangsa, melaksanakan intervensi pada peringkat awal serta memastikan proses pemulihan dan kepentingan terbaik kanak-kanak sentiasa diberi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, Rina berkata penganjuran SUKTEM pada tahun ini turut mencatat penyertaan terbesar apabila melibatkan 21 sekolah dari Zon Pantai Timur Sabah.
Sekolah terbabit merangkumi kawasan Tawau, Sandakan, Kinabatangan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak.
Katanya, jumlah penyertaan itu memperlihatkan potensi besar pelajar di kawasan Pantai Timur Sabah yang bukan sahaja menyerlah dalam bidang akademik, malah turut mempunyai keupayaan dalam sukan dan aktiviti kebudayaan. – DAKWAT RAKYAT POST
