San Isidro, Argentina: Diego Maradona terlantar di atas katil, mengalami bengkak pada badan dan kelihatan sudah pasrah dengan nasibnya pada hari-hari terakhir sebelum meninggal dunia pada 2020, menurut keterangan tukang urut legenda bola sepak Argentina itu di mahkamah, hari ini.
Maradona “tidak mahu bangun dari katil, enggan makan, tak mahu mandi dan tak mahu menjaga kebersihan diri”, kata Nicolas Taffarel ketika memberi keterangannya.
Beliau mendakwa sudah memberi amaran kepada pasukan perubatan Maradona supaya lebih kerap memantau keadaan bekas juara Piala Dunia 1986 itu dan mengunjunginya setiap hari, seperti yang didengar menerusi rakaman audio dimainkan di mahkamah.
Tujuh petugas kesihatan kini dibicarakan sejak pertengahan April di Argentina atas dakwaan kecuaian yang mungkin menyumbang kepada kematian ikon bola sepak berkenaan.
“Saya melaporkan masalah yang saya perhatikan, tetapi saya tidak melihat sebarang tindakan konkrit atau penyelesaian segera,” kata Taffarel sambil menahan sebak ketika menceritakan keadaan Maradona.
“Badannya bengkak, kakinya turut membengkak. Doktor memberitahu saya supaya bertenang dan simptom itu akan hilang.
“Apabila anda berasa cemas, anda mempercayai mereka. Anda memberitahu diri sendiri bahawa semuanya akan pulih dan keadaan akan kembali seperti biasa. Tetapi ia tidak berlaku.”
Pada 24 November, sehari sebelum kematiannya, Taffarel berkata beliau cuba memujuk Maradona keluar dari bilik untuk minum mate, namun gagal.
“Dia berkata kepada saya: ‘Saya tidak mahu apa-apa, Taffita, itu saja.’
“Saya bertanya: ‘Apa maksud awak, itu saja?’ dan dia menjawab: ‘Tiada apa-apa, itu saja’,” katanya sambil memetik kata-kata Maradona yang samar itu.
Frasa “ya esta” yang digunakan Maradona boleh ditafsirkan sebagai “sudah selesai” atau “sudah berakhir”.
Maradona meninggal dunia seorang diri di atas katil keesokan harinya pada usia 60 tahun akibat kegagalan jantung dan edema pulmonari akut, iaitu keadaan apabila cecair terkumpul di dalam paru-paru.
Ketika itu, beliau baru dua minggu menjalani pembedahan.
Tujuh tertuduh yang berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun menafikan sebarang tanggungjawab terhadap kematian Maradona.
Sebahagian besar mereka mempertahankan diri dengan alasan kepakaran dan peranan masing-masing adalah terhad serta tidak mempunyai kaitan langsung dengan punca klinikal kematian Maradona.
Perbicaraan itu dijangka berlanjutan sehingga melepasi Ogos.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada: Ogos 7, 2026 @ 8:26pm
