Rom: Ahli arkeologi menemukan sebuah bangunan dari abad kedua yang dihiasi mozek dan lukisan dinding berhampiran Colosseum di Rom.
Bangunan itu dipercayai pernah dijadikan berek anggota bomba pada zaman Empayar Rom, menurut pejabat arkeologi bandar itu pada Rabu.
Lima daripada lapan bilik di bangunan itu digali sepenuhnya di Taman Villa Celimontana, sebuah bekas kediaman golongan bangsawan yang dibina pada abad ke-16 di Bukit Caelian, salah satu daripada tujuh bukit utama Rom purba.
Ahli arkeologi menemukan mozek yang memaparkan imej seekor ikan lumba-lumba, ikan, udang kara dan ketam yang mengelilingi sebuah pasu besar bercangkuk dua.
Mereka turut menemukan sisa siling yang dicat dengan hiasan bulatan besar berwarna merah dan biru.
Menurut pejabat arkeologi itu, reka bentuk mozek berkenaan sangat menyerupai mozek yang pernah ditemukan di sebuah berek anggota bomba di Ostia, pelabuhan utama Rom purba yang terletak kira-kira 30 kilometer dari ibu negara Itali itu.
Penemuan itu menunjukkan bangunan itu mungkin sebahagian daripada berek Kohort Kelima Vigiles, iaitu pasukan bomba pada zaman Rom purba.
“Jika hipotesis ini disahkan, penemuan itu akan membantu menilai semula keluasan salah satu kompleks ketenteraan terpenting pada zaman Empayar Rom,” menurut kenyataan pejabat arkeologi berkenaan.
Pada zaman Empayar Rom, pasukan Vigiles bertanggungjawab memadam kebakaran dan menjaga ketenteraman awam pada waktu malam.
Berek mereka yang terletak bersebelahan bangunan itu mendapatkan bekalan air dari sebuah saluran paip besar berhampiran.
Bagaimanapun, ahli arkeologi turut mengemukakan satu lagi kemungkinan bahawa bangunan itu sebenarnya ialah sebuah domus, iaitu rumah kediaman golongan bangsawan Rom, seperti banyak kediaman lain yang pernah ditemukan di Bukit Caelian.
Kewujudan hiasan yang mewah dan berkualiti tinggi di dalam bangunan itu turut menyokong kemungkinan itu.
“Hanya kajian terperinci terhadap bahan-bahan yang ditemukan dan struktur bangunan yang didedahkan menerusi penggalian ini akan memberikan maklumat lanjut mengenai bangunan yang baharu ditemukan itu,” menurut pejabat arkeologi.
Kerja-kerja penggalian itu dibiayai menerusi dana pemulihan ekonomi Kesatuan Eropah (EU) yang diwujudkan selepas pandemik Covid-19.
Kredit sumber: REUTERS/Harian Metro
