PAPAR: Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Selasa, atas tiga pertuduhan termasuk menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 19 tahun serta memiliki senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dan peluru tanpa lesen.
Tertuduh, Stephen Rantin, 55, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, Stephen didakwa menyebabkan kematian Jivalwoddy Jalius, 19, akibat perbuatan cuai di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, antara jam 4 petang hingga 6 petang, 11 Januari lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk tanpa lesen sah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, kira-kira jam 5.30 petang, 12 Januari lalu.
Dia turut berdepan pertuduhan ketiga kerana memiliki sebutir peluru berwarna hijau dengan nombor 12 tertera pada bahagian belakangnya tanpa lesen sah di tempat dan waktu yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 20 November depan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima panggilan daripada Hospital Beaufort kira-kira jam 9.10 malam, 11 Januari lalu, berhubung seorang pesakit yang mengalami kecederaan tembakan di bahagian kanan perut.
Siasatan mendapati tertuduh dan mangsa pergi memburu secara berasingan di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Lumagar, Bongawan.
Ketika berada di ladang berkenaan, tertuduh mendakwa ternampak sesuatu yang menyerupai payau sebelum melepaskan satu das tembakan yang kemudian didapati terkena mangsa.
Tertuduh bersama dua penduduk kampung kemudian membawa mangsa ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth bagi rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia akibat komplikasi kecederaan tembakan, termasuk pengumpulan darah yang banyak di ruang dada kanan serta jangkitan dalam rongga abdomen.
Pada 12 Januari lalu, polis merampas senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu bersama sebutir peluru untuk membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Amir Khuzairi Ahmad, manakala siasatan dijalankan Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Desmond Tanggapan.-DAKWAT RAKYAT POST
