Butterworth: Beberapa warga asing mendakwa enggan membuka pintu ketika serbuan dijalankan Jabatan Imigresen, di sini, malam tadi kerana menyangka mereka menjadi sasaran perompak.
Serbuan dijalankan susulan aduan daripada penduduk berhubung dakwaan kegiatan pelacuran membabitkan warga asing di sebuah rumah pangsa di Perai.
Operasi penguatkuasaan bersepadu itu menyaksikan kira-kira 10 unit kediaman yang dipercayai dihuni warga asing diperiksa pegawai penguat kuasa.
Bagaimanapun, hampir separuh daripadanya terpaksa dipecahkan pintunya selepas penghuni enggan memberikan kerjasama.
Wartawan yang menyertai operasi turut mendapati beberapa penghuni memadamkan lampu dan kipas sebelum bersembunyi di dalam bilik selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.
Ada juga yang berdiam diri walaupun pintu diketuk beberapa kali, dipercayai bagi menimbulkan gambaran unit kediaman mereka tidak berpenghuni.
Bagaimanapun, selepas pintu dipecahkan, beberapa warga asing memberitahu mereka menyangka individu di luar rumah mahu merompak, menyebabkan mereka enggan membuka pintu.
Pemeriksaan di beberapa unit mendapati kebanyakan warga asing terbabit tidak memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang sah, manakala sebahagiannya dipercayai melakukan kesalahan tinggal lebih masa.
Dalam satu unit, seorang wanita warga Indonesia ditemui bersama seorang lelaki tempatan di dalam sebuah bilik.
Pemeriksaan lanjut menemukan kondom terpakai di dalam bilik berkenaan, dan wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Serbuan di rumah pangsa berkenaan adalah sebahagian daripada operasi Jabatan Imigresen Pulau Pinang yang dijalankan di 20 lokasi.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Imigresen Pulau Pinang berkata operasi itu menyasarkan kawasan kediaman yang dikenal pasti mempunyai jumlah warga asing yang tinggi.
Menurutnya, seramai 71 individu diperiksa dalam operasi yang bermula semalam, dengan 24 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 49 tahun, terdiri daripada 18 lelaki dan enam wanita dari Myanmar (10), Indonesia (sembilan), Pakistan (tiga) dan India (dua).
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan memiliki kad yang tidak diiktiraf,” katanya.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Jawi untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya, empat notis Borang 29 (Saman Saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
Kredit sumber: Harian Metro
