Besut: Tindakan seorang lelaki terjun ke sungai untuk mengelak daripada pemeriksaan polis semalam, berakhir dengan dia ditemukan lemas di Kampung Gong Mak Som, Kampung Raja, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki berusia 28 tahun itu berjaya menemukan mayat pada hari kedua operasi kira-kira jam 11.30 pagi.
Katanya, pasukan SAR menemukan mayat lelaki itu pada jarak kira-kira 250 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Identiti mangsa sudah dikenalpasti dan dia warga tempatan berasal dari Nyior Tujuh, Jertih.
“Mayat dihantar ke Hospital Besut bagi tujuan bedah siasat.
“Operasi SAR membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk Kampung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan mangsa dipercayai terjun ke sungai ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis berkaitan dadah jam 5.45 petang.
Ketika kejadian, sepasukan anggota dari Balai Polis Kampung Raja menjalankan pemeriksaan di kawasan berhampiran sungai.
Mangsa yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri sebelum dipercayai tenggelam dan gagal dikesan.
Pemeriksaan lanjut di sebuah bangsal kayu berhampiran lokasi kejadian menemukan sejumlah pil disyaki dadah.
Kredit sumber: Harian Metro
