LONDON: Cristiano Ronaldo mencetuskan spekulasi mengenai perancangan persaraannya selepas mendedahkan bahawa tahun depan kemungkinan menjadi tahun terakhirnya dalam karier bola sepak.
Kapten Portugal berusia 41 tahun itu antara pemain paling banyak meraih kejayaan sepanjang zaman.
Dia sudah memenangi pelbagai trofi utama bersama Manchester United, Real Madrid, Juventus dan kelabnya ketika ini, Al-Nassr, sejak membuat penampilan sulung di peringkat senior bersama Sporting pada 2002.
Ronaldo, pemenang lima anugerah Ballon d’Or, gagal menambah trofi Piala Dunia ke dalam koleksi kejayaannya selepas Portugal tersingkir daripada kejohanan dunia tahun ini.
babitkan ulama, agamawan
Ini bermakna trofi paling berprestij dalam bola sepak itu masih belum menghiasi kabinet trofinya.
“Ini mungkin tahun terakhir saya dalam bola sepak, dan saya mahu meninggalkan legasi yang luar biasa,” kata Ronaldo kepada majalah Vogue dalam satu temu bual yang diterbitkan hari ini.
Penyerang itu sudah menjaringkan 976 gol untuk kelab dan negara sepanjang kariernya yang sudah menjangkau lebih dua dekad.
“Saya mempunyai begitu banyak perkara untuk dilakukan sehingga sukar untuk memberitahu hanya satu. Apabila bola sepak berakhir, ia mungkin meninggalkan ruang kosong yang besar, jadi anda perlu mengisi masa dengan pelbagai perkara, bukan hanya satu,” katanya.
“Dan juga lebih banyak berseronok, melancong, menonton dan bermain padel, yang sangat saya gemari, serta terus menikmati apa yang telah saya peroleh. Lagipun, sudah 25 tahun dengan begitu banyak pengorbanan.”
Ronaldo akan terus beraksi bersama kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr, musim ini sambil semakin menghampiri 1,000 gol dalam kariernya.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
